Skip to main content

Dunia

Polis Indonesia ikrar ambil langkah tegas tangani bantahan ganas

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Indonesia ikrar ambil langkah tegas tangani bantahan ganas

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polri, Inspektor Jeneral Sandi Nugroho. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 31 Aug 2025 09:40PM Dikemas Kini : 31 Aug 2025 09:41PM
JAKARTA: Polis Negara Indonesia (Polri) mengesahkan akan mengambil tindakan yang wajar dan profesional di bawah bidang kuasanya dan undang-undang untuk menangani tindakan anarki dalam kalangan masyarakat.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polri, Inspektor Jeneral Sandi Nugroho, dalam kenyataannya di Jakarta pada Sabtu (30 Ogos), menyusuli arahan Ketua Polis Negara Jeneral Listyo Sigit Prabowo.

Encik Nugroho berkata bahawa Presiden Prabowo Subianto mengarahkan Ketua Polis Negara, dan Panglima Angkatan Pertahanan Indonesia (TNI) Jeneral Agus Subiyanto untuk mengambil langkah tegas terhadap tindakan anarki di beberapa wilayah.

Bagaimanapun, beliau menyatakan segala tindakan penguatkuasaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa akan dilaksanakan mengikut undang-undang dan peruntukan lain.

Polis Negara akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) dan mengendalikan situasi secara berdisiplin.

"Fokus kami adalah untuk melindungi orang awam, kakitangan, ibu pejabat komando, asrama, dan barangan penting lain untuk memastikan keadaan kekal selamat dan terkawal," katanya.

Inspektor Jeneral Nugroho turut menegaskan semua peringkat polis wilayah (Polda), polis daerah (Polres), dan polis daerah kecil (Polsek) sudah diarah untuk bertindak menyusuli arahan Ketua Polis Negara dengan cepat dan tepat.

Arahan ini termasuk mengumpul data mengenai isu yang berterusan, membuat persediaan dan rancangan untuk kakitangan, kaedah tindakan, dan infrastruktur yang diperlukan untuk membuat tindakan susulan dalam mengendalikan tindakan anarki secara berkadar dan profesional.

Selain itu, sinergi antara TNI dan Polri akan terus diperkukuh bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam dipelihara.

Selain itu, jeneral polis itu turut menggesa semua lapisan masyarakat supaya bertenang dan bekerjasama bagi mengekalkan keadaan yang kondusif.

"Kami menghormati hak orang ramai untuk meluahkan isi hati masing-masing, tetapi pelaksanaannya mesti mematuhi peruntukan undang-undang dan tidak merugikan kepentingan awam.

"Kami menggesa semua pihak supaya menjaga ketenteraman dan menyokong usaha TNI dan Polri dalam menjaga keselamatan dan kestabilan," katanya.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita