Skip to main content

Dunia

Polis Indonesia bongkar industri cecair vape dibubuh ganja di Bali

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Indonesia bongkar industri cecair vape dibubuh ganja di Bali

Seorang lelaki menghisap alat vape pakai buang. (Gambar fail: CNA/Zamzahuri Abas)

Diterbitkan : 26 Jun 2026 03:29PM
TANGERANG: Kepolisian Resor Kota (Polresta) Lapangan Terbang Soekarno-Hatta membongkar sebuah industri dari rumah yang menghasilkan cecair vape mengandungi dadah jenis ganja.

Operasi itu melibatkan tiga warga asing dari Amerika Syarikat dan Tunisia di sebuah vila di Bali.

Ketua Polresta Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Pesuruhjaya Besar Polis Wisnu Wardana, dalam sidang media di Tangerang pada Khamis (25 Jun) berkata, sindiket antarabangsa yang mengendalikan kegiatan haram itu dipercayai meraih keuntungan sehingga Rp360 bilion (S$25.9 juta).

"Dalam kes ini, pihak berkuasa menahan tiga suspek yang kesemuanya merupakan warga asing. Selain itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah Golongan Satu," katanya kepada ANTARA.

Beliau berkata, suspek dengan nama singkatan BSM, warga Amerika Syarikat, berperanan sebagai pengendali utama industri tersebut di Bali. Sementara itu, suspek dengan singkatan nama ANH dan AEP, kedua-duanya warga Tunisia, bertindak sebagai pembekal dan kurier.

"Sindiket ini telah beroperasi sejak April 2023 sebelum berjaya diberkas pada April 2026," katanya.

Encik Wisnu berkata, siasatan bermula selepas penemuan ganja yang diseludup melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta. Barang berkenaan dikesan dihantar ke Pulau Bali, sebelum siasatan lanjut dijalankan.

Hasil siasatan mendapati suspek menghasilkan ganja cair untuk vape di sebuah vila di Bali dengan kapasiti pengeluaran yang besar, mencecah 2,000 botol cecair.

"Setiap bulan, mereka mampu menghasilkan kira-kira 2,000 botol cecair vape ganja. Produk ini kemudian dijual kepada pelanggan pada harga yang sangat tinggi, iaitu Rp5 juta (S$360) bagi setiap botol," katanya.

Beliau berkata, sindiket dadah antarabangsa itu beroperasi dari April 2023 hingga akhir April 2026. Dalam tempoh 36 bulan, jumlah anggaran perolehan daripada perniagaan itu mencecah Rp360 bilion, dengan anggaran seramai 72,000 pengguna.

"Jika dikira, industri dari rumah ini mampu menjana hasil jualan sebanyak Rp10 bilion (S$722,000) sebulan," katanya.

Menurut beliau, sindiket itu menyasarkan pasaran dalam kalangan warga asing dengan mempelajari teknik penghasilan ganja cair melalui 'dark web'. Kebanyakan pelanggan mereka juga terdiri daripada warga asing, walaupun tidak menolak kemungkinan produk itu turut diedarkan kepada orang awam.

"Mengenai kemahiran menghasilkan ganja cair, salah seorang suspek mengaku mempelajarinya sendiri. Suspek menggunakan rangkaian internet tersembunyi (dark web) untuk mendapatkan formula dan kaedah menghasilkan cecair dadah itu," jelasnya.

Encik Wisnu berkata, rangkaian sindiket itu disusun dengan rapi dan menggunakan kaedah pembayaran yang sukar dikesan. Bagi transaksi melibatkan pembelian bahan mentah dari luar negara, suspek menggunakan mata wang kripto. Namun, bagi pembeli tempatan di Indonesia, mereka masih menerima pembayaran melalui akaun bank tempatan.

"Keuntungan peribadi yang diperolehi adalah sangat besar, iaitu mencecah Rp2.1 bilion (S$151,620) sepanjang 2025 hingga 2026," katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah Narkotik Polresta Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, AKP Michael Kharisma Tandayu berkata, polis kini sedang memburu seorang lagi pembekal utama dengan nama singkatan SR yang dimasukkan dalam Senarai Orang Dikehendaki (DPO).

"Beberapa bahan mentah dibawa sendiri oleh suspek BSM dari Thailand sebelum diproses di Bali," katanya.

Atas perbuatan itu, para suspek disiasat mengikut Perkara 114(2) Undang-Undang Nombor 35 Tahun 2009 mengenai Narkotik, dibaca bersama Perkara 610(2)(a) atau sebagai alternatif Perkara 609(2)(a) Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2003 mengenai Kanun Keseksaan Indonesia.

"Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan denda sehingga Rp10 bilion," kata Michael.
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita