Skip to main content

Dunia

Polis Indonesia berkas lelaki guna kod QR untuk curi wang derma masjid

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Indonesia berkas lelaki guna kod QR untuk curi wang derma masjid

(Gambar: Antara Foto/Aditya Pradana Putra)

JAKARTA: Polis Indonesia memberkas seorang lelaki berusia 38 tahun pada Selasa (11 Apr) kerana mencuri wang derma badan amal dengan menggunakan pelekat kod QR palsu di tempat awam.

Wang tersebut kemudian disalurkan ke dalam akaunnya.

Menurut The Jakarta Globe, suspek melakukan kesalahan itu di 38 lokasi seperti masjid, stesen minyak dan pusat beli-belah sejak 1 April.

"Sejauh ini, kami menemui tiga akaun milik suspek," kata
Ketua Pesuruhjaya Polis Auliansyah Lubis, pengarah divisyen jenayah khas polis Jakarta, seperti dipetik oleh The Jakarta Globe.

Beliau menambah bahawa siasatan awal menunjukkan suspek memperolehi 13 juta rupiah (S$1,164) dengan menyalurkan wang derma itu ke dalam akaunnya.

Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti jika lelaki itu menganggotai pertubuhan jenayah atau sama ada orang lain terlibat dalam membuat kod QR tersebut dan melakukan pembayaran secara digital, kata Encik Auliansyah.

Menurut laporan Antara, kes pertama terbongkar pada Ahad (9 Apr) apabila pengurus masjid membuat aduan polis selepas ternampak kod QR yang mencurigakan di Masjid Nurul Iman yang terletak di Blok M Square, sebuah pusat beli belah di Jakarta Selatan.

Pengurus dan seorang pekerja pembersihan masjid memeriksa seluruh pekarangan masjid dan menemui 24 pelekat QR palsu, menurut laporan Antara.

Menurut Encik Auliansyah, pelekat QR palsu itu ditampal pada pelekat masjid yang tulen, di sebelah pelekat QR yang sedia ada, atau ditampal pada tembok kosong.

Menurut Antara, suspek ditangkap menampal pelekat kod QR dengan tulisan "Kerja Baik Pulih Masjid" pada kotak-kotak derma dan tembok masjid melalui kamera pengawasan pada Khamis (6 Apr).

Sejak kejadian itu, Bank Indonesia sudah menyekat kod QR "Kerja Baik Pulih Masjid", seperti dipetik laporan Liputan6.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita