Polis Indonesia berkas 44 individu disyaki mulakan kebakaran hutan
Pihak berkuasa Indonesia memberkas 44 individu yang disyaki memulakan kebakaran hutan dan tanah gambut yang kini menyebabkan jerebu yang membahayakan kesihatan di rantau tersebut, menurut para pegawai pada Rabu (23 Jul).
Seorang anggota polis berusaha untuk memadamkan kebakaran yang melanda kawasan tanah gambut di Ogan Ilir, Sumatera Selatan, Indonesia, pada 20 Julai 2025. (Gambar: AP/Muhammad Hatta)
Kebakaran hutan dan tanah gambut merupakan masalah tahunan di Indonesia, yang menjejaskan hubungannya dengan negara-negara jiran. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, asap daripada kebakaran tersebut menyelubungi sebahagian kawasan di Indonesia, Singapura, Malaysia dan selatan Thailand.
Kebakaran tersebut sering dimulakan secara haram oleh pemilik ladang atau petani tradisional untuk membersihkan tanah bagi tujuan penanaman, kata Suharyanto, Ketua Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), dalam satu kenyataan pada Rabu.
“Kebakaran hutan bukan sahaja disebabkan oleh musim kemarau, tetapi juga oleh perbuatan manusia,” kata Encik Suharyanto, yang seperti kebanyakan rakyat Indonesia hanya menggunakan satu nama. “Diharapkan penangkapan ini menjadi pengajaran kepada masyarakat untuk tidak lagi membakar tanah bagi tujuan pembersihan.”
Polis pada Selasa mengetengahkan suspek-suspek tersebut, termasuk seorang wanita, dalam satu sidang media di Pekanbaru, ibu kota wilayah Riau. Mereka digari dan mengenakan pakaian penjara berwarna jingga.
Mereka yang diberkas boleh didakwa di bawah undang-undang perlindungan alam sekitar yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun bagi kesalahan membakar tanah untuk tujuan pembersihan, kata Encik Suharyanto.
Beliau turut menggesa orang ramai agar bersikap proaktif dalam menyokong kempen pemerintah dalam menghentikan kebakaran yang berpunca daripada perbuatan manusia, dan segera melaporkan sesiapa yang membakar tanah bagi tujuan pembersihan.
Beberapa kawasan di wilayah Riau masih diselubungi jerebu tebal, dengan daerah Rokan Hilir dan Rokan Hulu paling teruk terjejas akibat kebakaran yang memusnahkan kira-kira 500 hektar tanah dan menyebabkan jerebu tebal sehingga mengurangkan jarak penglihatan kepada kurang daripada satu kilometer.
Pemerintah Indonesia sudah meningkatkan tindak balas terhadap kebakaran itu dengan menaburkan beribu-ribu tan garam di awan untuk menghasilkan hujan buatan di Riau sejak Selasa, dan usaha itu akan diteruskan sehingga 25 Julai, kata Encik Suharyanto.
Penangkapan pada Selasa bukanlah yang pertama. Pada 2019, polis Indonesia memberkas 230 individu yang dikaitkan dengan kebakaran hutan.
Kebakaran hutan di pulau Sumatera dan Borneo sering berlaku semasa musim kering, dan menyelubungi sebahagian kawasan di Singapura dan Malaysia dengan jerebu.
Pada 2023, Indonesia yang sering memohon maaf kepada negara jiran berhubung jerebu, menafikan bahawa kebakarannya menjadi punca pencemaran udara di Malaysia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.