Polis Indonesia berkas 3 warga Australia susuli kejadian tembakan di Bali
Polis Indonesia memberkas tiga lelaki warga Australia berhubung satu kejadian tembakan yang mengorbankan seorang lagi lelaki Australia di sebuah vila di pulau peranginan Bali, menurut ketua polis Bali pada Rabu (18 Jun).
Pita garisan polis kelihatan di luar sebuah vila berikutan kejadian tembakan yang menyebabkan seorang lelaki Australia maut dan seorang lagi cedera di Badung, Bali, Indonesia pada 14 Jun 2025. (Gambar fail: REUTERS/Sultan Anshori)
Ketua Polis Bali, Daniel Adityajaya, berkata ketiga-tiga suspek itu diberkas pada Selasa dan didakwa "merancang dan melaksanakan" serangan tembakan terbabit.
“Kami telah menahan tiga suspek,” katanya kepada wartawan, sambil menambah bahawa mereka sudah didakwa atas tuduhan membunuh dengan niat dan boleh berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, pihak polis enggan mendedahkan identiti penuh ketiga-tiga lelaki itu, dan hanya merujuk mereka dengan huruf awal C, D dan T.
Kejadian tembakan yang berlaku pada awal pagi Sabtu (14 Jun) itu meragut nyawa Zivan Radmanovic, 32 tahun, dan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lagi warga Australia, Sanar Ghanim, 35 tahun.
Pihak berkuasa Indonesia sebelum ini memaklumkan bahawa dua individu sudah diberkas berhubung kejadian itu, termasuk seorang di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta berhampiran ibu kota, Jakarta, ketika dia sedang bersiap untuk meninggalkan negara.
“Kami memberkasnya sebelum dia sempat berlepas,” kata Encik Adityajaya.
Dua lagi suspek diberkas di luar negara selepas polis Indonesia mendapatkan kerjasama Interpol di Asia Tenggara, namun pihak berkuasa enggan mendedahkan lokasi penahanan mereka.
Polis turut merampas beberapa barang bukti termasuk sepucuk pistol 9mm, sebuah motosikal dan dua kereta yang digunakan suspek untuk melarikan diri dari tempat kejadian, kata Encik Adityajaya.
Polis belum mendedahkan motif jenayah tersebut dan memaklumkan bahawa siasatan masih dijalankan, dengan Encik Adityajaya menambah bahawa seorang lagi suspek mungkin akan dikenal pasti sebagai dalang di sebalik rancangan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.