Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis India tahan lelaki bangunkan aplikasi lelong wanita Muslim

Anggaran Waktu Membaca:
Polis India tahan lelaki bangunkan aplikasi lelong wanita Muslim

Gambar fail. (Gambar: Unsplash/Utsman Media)

MUMBAI: Polis India memberkas seorang lelaki disyaki membangunkan  aplikasi yang memuat naik gambar lebih 80 wanita Muslim untuk "dijual" online tahun lepas. 

Aplikasi awam itu, Sulli Deals, diletakkan di wadah web GitHub pada Julai 2021. 

Lelaki berusia 25 tahun itu diberkas beberapa hari selepas satu aplikasi serupa, Bulli Bai, memuat naik gambar lebih 100 wanita Muslim. 

Empat remaja, ditahan termasuk seorang pelajar berusia 21 tahun yang didakwa membangunkan aplikasi kedua itu.

Dalam kedua-dua kes tersebut, sebenarnya tidak berlaku sebarang lelongan atau jualan seperti yang digembar-gemburkan.

Sebaliknya, tujuan mereka dengan sengaja untuk memalu serta menghina wanita Muslim, yang ramai daripada mereka lantang bercakap mengenai isu nasionalisme Hindu di bawah Perdana Menteri Narendra Modi. 

"Sulli" merupakan slanga menghina wanita Muslim  digunakan penyokong berhaluan kanan Hindu. 

Selepas aplikasi Bulli Bai  mencetuskan kemarahan online, salah seorang wanita membuat aduan polis pada Julai mendakwa  polis di ibu kota Delhi tidak mengambil sebarang tindakan. 

Pada Ahad (9 Jan), polis memberkas Aumkareshwar Thakur dari bandar Indore di wilayah tengah Madhya Pradesh. 

Polis memberitahu BBC bahawa nama Thakur timbul apabila Neeraj Bishnoi, yang didakwa sebagai pencipta aplikasi Bulli Bai, disoal siasat. 

Alat-alat elektronik Thakur sedang dianalisis, kata Timbalan Pesuruhjaya Pasukan Jenayah Siber Polis Delhi, KPS Malhotra, kepada BBC. 

Aplikasi Sulli Deals mempamerkan gambar profil wanita dan menawarkan mereka bagi "jualan hari ini". 

Banyak gambar wanita yang dimuat naik dalam laman web berkenaan terdiri dari personaliti wanita Islam yang lantang bersuara termasuk wartawan, aktivis, artis atau penyelidik.

Seorang daripadanya yang berkhidmat sebagai juruterbang komersil   memberitahu BBC pada Julai bahawa beliau merasakan "seram sejuk" apabila mendengar tentang aplikasi tersebut. 

Aplikasi Bulli Bai juga mencetuskan reaksi yang serupa daripada wanita-wanita yang  gambar mereka dimuat naik tanpa kebenaran mereka. Ini termasuk beberapa wartawan, seorang pelakon Bollywood dan seorang ibu, 65 tahun, kepada seorang pelajar India yang hilang. 

Laporan Amnesty International 2018 tentang gangguan online di India menunjukkan jika seorang wanita itu lebih lantang bersuara, lebih besar kemungkinannya beliau dijadikan sasaran - menjejas lebih tinggi wanita dari kumpulan agama minoriti dan kasta yang tertindas. 

Para kritik berkata peristiwa menghina wanita Muslim semakin teruk sejak kebelakangan ini di India, di mana keadaan politik semakin berpecah belah.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan