Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis Diraja M'sia siap sedia hadapi PRU15 dalam masa terdekat

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Diraja M'sia siap sedia hadapi PRU15 dalam masa terdekat

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani (tengah). (Gambar: BERNAMA)

GEORGE TOWN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa membuat persediaan rapi dari segi sumber manusia dan aset bagi memastikan kelancaran proses Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata justeru, pasukannya sentiasa dalam keadaan bersiap sedia jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat.

"Untuk PRU15 sekarang ini nampaknya sedang hangat diperkatakan dan seperti mana tahun terdahulu, PDRM dah buat persiapan rapi dari pelbagai sumber terutama manusia dan aset-aset bagi memastikan kelancaran perjalanan pilihan raya itu.

"Insya-Allah dengan persiapan kita laksanakan dan aturkan, pilihan raya akan berjalan lancar, tenteram dan aman. Kalau PRU15 dalam masa terdekat kami pihak polis sedia berkhidmat jadi kita sentiasa siap sedia," katanya kepada pemberita hari ini (4 Okt).

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan kerja ke Pulau Pinang Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Marin Ke-75 di Pangkalan Polis Marin Batu Uban yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali.

Pada 30 Sep lalu, Majlis Tertinggi (MT) UMNO mahu Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu dalam ucapannya, Encik Acryl Sani berkata sejak Januari hingga Ogos tahun ini, Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merekodkan nilai rampasan sebanyak RM292 juta (S$90 juta) membabitkan 5,103 kes melibatkan kesalahan penyeludupan kontraban, migran, khazanah negara, dadah dan lain-lain berbanding 4,463 kes dengan nilai rampasan RM247 juta (S$76 juta) bagi tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata peningkatan jumlah kes dan nilai rampasan bagi tempoh kajian itu membuktikan bahawa tindakan proaktif PPM membuahkan hasil.

"Masyarakat menganggap bahawa PPM hanya menjalankan tanggungjawab menjaga perairan negara, namun pada hakikatnya fungsi PPM adalah jauh lebih luas dan mencabar.

"PPM antara barisan hadapan yang turut sama berusaha membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan, penyeludupan dan penyelewengan sumber khazanah laut dan hasil hutan yang menyebabkan ketirisan hasil negara," katanya.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan