Skip to main content

Dunia

Polis cadang pasang 2,000 kamera litar tertutup di merata Kuala Lumpur

Polis Kuala Kumpur mencadangkan supaya 2,000 kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di merata Kuala Lumpur dalam usaha memantau isu keselamatan di kawasan berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis cadang pasang 2,000 kamera litar tertutup di merata Kuala Lumpur

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 15 Aug 2020 04:45PM Dikemas Kini : 15 Aug 2020 04:49PM

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Kumpur mencadangkan supaya 2,000 kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di merata Kuala Lumpur dalam usaha memantau isu keselamatan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata, CCTV berkenaan perlu dipasang di kawasan ‘hot spot’ yang dikenal pasti di daerah Brickfield, Dang Wangi, Wangsa Maju, Cheras dan juga Sentul.

Menurutnya, pada masa ini hanya 309 unit CCTV dipasang di kawasan sekitar bandar raya.

“Perkara ini kami akan cadangkan kepada Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa untuk kita pasang di kawasan yang dikenal pasti terdapat banyak aktiviti perniagaan dan pelancongan,” katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan khas bersama penduduk, wakil agensi awam dan swasta di kawasan Sentul hari ini (15 Ogos).

Pada bulan lalu, Bernama melaporkan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa bercadang untuk menambah sehingga 5,000 CCTV di kawasan strategik, bagi menjadikan ibu negara sebuah bandar raya lebih selamat.

Encik Annuar berkata, pada masa ini hanya beberapa CCTV beroperasi di kawasan strategik dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Encik Mazlan berkata pihaknya sedia untuk bekerjasama dengan pemberi maklumat dengan melindungi identiti mereka sepenuhnya dalam usaha memperbaiki tanggapan orang ramai terhadap polis.

“Pemberi maklumat tidak perlu risau, kerana mereka tidak akan didedahkan sama sekali. Justeru mereka tidak perlu takut untuk tampil menjadi mata, telinga dan mulut kami, sekali gus dapat memperbaiki tanggapan orang awam terhadap pihak polis dalam usaha bekerjasama membanteras jenayah,” katanya. 

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita