Polis buru lelaki yang pikul ikan lumba-lumba terdampar di pantai
Pihak berkuasa China sedang memburu seorang lelaki yang dirakam berjalan di pantai selatan wilayah Guangdong sambil memikul seekor ikan lumba-lumba.
Seorang lelaki dilihat memikul ikan lumba-lumba di China. (Gambar: petikan dari laman Weibo)
GUANGZHOU: Pihak berkuasa China sedang memburu seorang lelaki yang dirakam berjalan di pantai selatan wilayah Guangdong sambil memikul seekor ikan lumba-lumba.
Lelaki tersebut, yang dipercayai seorang pelancong, kemudian meletakkan haiwan tersebut di dalam keretanya dan meninggalkan kawasan itu, menurut laman berita China btime.com semalam (3 Mei).
Dalam satu video yang dipercayai dirakam pada Selasa (2 Mei), semasa cuti hari buruh selama tiga hari di China, seorang lelaki yang memakai seluar pendek dilihat berjalan di tepi pantai sambil memikul ikan lumba-lumba dan menggenggam telefon bimbit.
Ikan lumba-lumba itu kelihatan tidak bernyawa. Menurut laporan, lelaki itu menjumpai haiwan tersebut di pantai Pulau Hailing, destinasi popular dalam kalangan pelancong.
Video itu tersebar di media sosial China dan biro perikanan tempatan sudah melancarkan siasatan terhadap kes tersebut.
"Ikan lumba-lumba merupakan haiwan yang dilindungi di China," menurut seorang pegawai yang ditukil laporan berkenaan. "Sama ada ia sudah mati atau masih hidup, tetap satu kesalahan untuk berbuat demikiani. Dia seharusnya menghubungi pihak berkuasa untuk menangani perkara tersebut."
Pegawai itu turut menambah bahawa polis sedang menyiasat kes tersebut dan lelaki itu akan dikenakan hukuman setelah identitinya dikenal pasti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.