Polis Britain sahkan insiden rempuhan di Liverpool tiada kaitan dengan keganasan
Penolong Ketua Polis Merseyside, Jenny Sims menyifatkan kejadian itu sebagai "mengerikan" dan menzahirkan simpati kepada semua mangsa yang cedera. (Gambar: Reuters)
Penolong Ketua Polis Merseyside, Jenny Sims menyifatkan kejadian itu sebagai "mengerikan" dan menzahirkan simpati kepada semua mangsa yang cedera,lapor Anadolu Ajansi.
Kejadian berlaku di Water Street, tempat para penyokong berkumpul untuk meraikan kemenangan Liverpool FC dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
“Seorang lelaki berusia 53 tahun dipercayai memandu kenderaan terbabit,” kata Cik Sims dalam satu sidang media, sambil memaklumkan bahawa siasatan berhubung punca kejadian masih dijalankan.
David Kitchin daripada Perkhidmatan Ambulans NHS Wilayah Barat Laut berkata, pasukan kecemasan "terkejut dan sedih" dengan apa yang berlaku.
Beliau mengesahkan bahawa 27 orang dibawa ke hospital di sekitar Liverpool, termasuk dua mangsa mengalami kecederaan serius termasuk seorang kanak-kanak.
Seorang anggota paramedik yang tiba di lokasi menaiki basikal turut dilanggar kenderaan berkenaan, namun tidak mengalami kecederaan serius.
Ketua Bomba, Nick Searle pula berkata, empat individu — tiga dewasa dan seorang kanak-kanak — tersepit di bawah kenderaan dan terpaksa diselamatkan sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan.
Pemerhati menyatakan bahawa tindakan pantas pihak polis mengenal pasti suspek dilihat sebagai usaha untuk mengelak penyebaran maklumat palsu dan ketegangan awam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.