Polis Britain berkas lelaki atas serangan siber terhadap lapangan terbang Eropah
Pelancong beratur untuk mendaftar masuk di Terminal 4 Lapangan Terbang Heathrow, berikutan gangguan pada sistem daftar masuk dan menaiki pesawat akibat serangan siber pada 20 Sep 2025. (Gambar fail: REUTERS/Isabel Infantes)
Serangan perisian tebusan itu melumpuhkan sistem daftar masuk di sebilangan lapangan terbang dan menjejas gangguan perjalanan di seluruh Eropah.
Menurut National Crime Agency dalam kenyataannya, lelaki tersebut, yang berusia 40-an tahun, ditangkap pada Selasa kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer dan sejak itu sudah dibebaskan dengan ikat jamin bersyarat.
"Walaupun penangkapan ini adalah langkah positif, siasatan ke atas insiden ini masih di peringkat awal dan masih berterusan," kata Timbalan Pengarah NCA Paul Foster.
Masih belum jelas kumpulan jenayah mana yang mendalangi serangan minggu lalu.
Jurucakap NCA enggan memberi maklumat lanjut.
'Ransomware' adalah perisian berniat jahat yang digunakan oleh penjenayah siber untuk menyulitkan (encrypt) data syarikat dan meminta bayaran untuk membebaskannya.
Serangan ke atas Collins Aerospace adalah yang terbaharu dalam siri serangan online di Eropah, yang menyebabkan kesan nyata yang meluas.
Pembuat kereta terbesar Britain Jaguar Land Rover, milik Tata Motors dari India, menyatakan pada Selasa bahawa ia melanjutkan penutupan kilang-kilangnya sehingga 1 Oktober menyusuli serangan siber bulan ini yang melumpuhkan operasinya dan menyebabkan pembekal-pembekal kecil menghadapi kesukaran.
Lapangan terbang Berlin, salah satu daripada beberapa lapangan terbang di seluruh Eropah yang terjejas oleh serangan Collins Aerospace, menyatakan pada Rabu bahawa ia mungkin mengambil masa beberapa hari lagi sebelum ia mempunyai sofwe yang berfungsi dan selamat, kata pengendali BER dalam kenyataannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.