Skip to main content

Dunia

Polis berkas penunjuk perasaan di lapangan terbang Minnesota

Anggaran Waktu Membaca:
Polis berkas penunjuk perasaan di lapangan terbang Minnesota
Polis menahan penunjuk perasaan di lapangan terbang ketika Minnesota bersiap sedia untuk bantahan terhadap penguatkuasaan undang-undang anti-imigresen, pada Rabu, 21 Jan 2026, di Minneapolis. (Gambar: AP/Angelina Katsanis)
Diterbitkan : 24 Jan 2026 11:44AM Dikemas Kini : 24 Jan 2026 11:45AM
MINNEAPOLIS: Polis menangkap para penunjuk perasaan yang membantah penguatkuasaan anti-imigresen di lapangan terbang terbesar Minneapolis pada Jumaat (23 Jan) selepas mereka melanggar permit mereka, menurut pihak berkuasa.

Ini berlaku sedang pengerahan besar-besaran untuk membantah tindakan keras pentadbiran Trump bermula di seluruh Minnesota walaupun suhu Artik menguasai negeri itu.

Satu rangkaian kesatuan sekerja, organisasi progresif dan paderi menggesa penduduk Minnesota supaya tidak hadir ke tempat kerja, sekolah dan juga kedai pada umaat bagi membantah pelaksanaan tindakan penguatkuasaan imigresen lebih ketat di Minneapolis dan St. Paul.

"Kira-kira 100 paderi" ditangkap, menurut Trevor Cochlin dari Faith in Minnesota, salah sebuah kumpulan yang menganjurkan bantahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Minneapolis-St. Paul.

Mereka membantah penglibatan Delta Airlines yang mengusir para pendatang.

Jurucakap Suruhanjaya Lapangan Terbang Metropolitan, Jeff Lea berkata penunjuk perasaan ditangkap di luar terminal utama apabila mereka melanggar syarat permit mereka kerana mengadakan tunjuk perasaan dan mengganggu operasi syarikat penerbangan.

Pihak berkuasa belum mendedahkan jumlah individu yang ditahan di lapangan terbang tersebut.

Bishop Dwayne Royster, ketua organisasi progresif Faith in Action, tiba di Minnesota pada Rabu dari Washington, DC.

"Kami mahu ICE keluar dari Minnesota," katanya. "Kami mahu mereka keluar dari semua bandar di seluruh negara di mana mereka melakukan tindakan keterlaluan yang melampau."

Para penunjuk perasaan berkumpul setiap hari di Twin Cities sejak 7 Januari lalu, apabila Renee Good ditembak mati oleh seorang pegawai Penguatkuasa Imigresen dan Kastam.

Pegawai penguatkuasaan undang-undang persekutuan berulang kali bertikai dengan ahli komuniti dan aktivis yang menjejaki pergerakan mereka.

Pihak penganjur berkata pada Jumaat bahawa lebih 700 perniagaan di seluruh negeri ditutup sebagai tanda perpaduan dengan bantahan tersebut, dari sebuah kedai buku kecil di Grand Marais yang terletak berhampiran sempadan Kanada hingga ke mercu tanda Teater Guthrie di pusat bandar Minneapolis.
Sumber : AP/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita