Polis berkas geng antarabangsa dalam penipuan ganja perubatan bernilai €$645 juta
Suspek menjanjikan keuntungan untuk mangsa antara 70 peratus dan 168 peratus setahun, bergantung kepada spesies ganja yang mereka laburkan.
Seorang pekerja sedang mengumpul pokok kanabis. (Gambar: REUTERS/Alessandro Bianchi)
MADRID: Pasukan polis yang diketuai oleh Sepanyol memberkas geng yang didakwa menipu sejumlah 645 juta euro (S$936 juta) daripada mangsa di 35 negara.
Menurut Polis Sepanyol dalam satu kenyataan, penipuan itu berpusat pada tanaman ganja untuk kegunaan perubatan.
Kumpulan itu melabur dalam satu sistem pemasaran dan menghadiri pameran ganja antarabangsa untuk meyakinkan mangsa melabur dengannya, kata polis Sepanyol lagi.
Sepanyol mengetuai operasi itu dengan bantuan Polis Eropah (EUROPOL) dan pasukan polis dari lima negara lain.
Sembilan suspek yang tidak dinamakan, ditahan pada 11 April kerana disyaki melakukan penipuan di Sepanyol, Britain, Jerman, Latvia, Poland, Itali dan Republik Dominica.
Jurucakap Polis Sepanyol, Silvia Garrido, berkata model perniagaan yang ditawarkan oleh organisasi ini menggunakan modal yang dipindahkan daripada pelabur untuk membangunkan perkongsian bagi membiayai penanaman tanaman ganja.
"Dengan sistem ini, mereka menjanjikan keuntungan untuk mangsa antara 70 peratus dan 168 peratus setahun, bergantung kepada spesies ganja yang mereka laburkan," katanya.
Agensi Jenayah Kebangsaan British (NCA), yang mengambil bahagian dalam operasi itu berkata, sebanyak 180,000 orang melabur dana dalam skim penipuan ponzi 'JuicyFields' yang terkenal dan rumit.
NCA memaklumkan bahawa seorang lelaki berusia 42 tahun dihadapkan di mahkamah London pada 11 April lalu, untuk memulakan prosiding ekstradisi.
Polis berkata, kereta mewah, pesta di hotel dan video muzik digunakan dalam kempen pengiklanan bagi mempromosikan skim berkenaan.
Tambah polis, mangsa dibawa ke ladang ganja yang sah dan terbabit dengan penipuan itu.
Polis pernah melakukan serbuan pada 2022, tetapi tidak menjelaskan sama ada suspek sudah didakwa atas sebarang kesalahan.
Polis juga menyekat akaun bank yang mengandungi simpanan 58,600 euro (S$85,000) dan 116,300 euro (S$168,867) dalam mata wang kripto, termasuk menemui wang tunai berjumlah 106,000 euro S$153,912).
Turut dirampas hartanah bernilai 2.6 bilion euro (S$3.77 bilion)
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.