Polis Belanda berkas penyerang trem Utrecht susuli buruan besar-besaran
Polis Belanda pada Isnin (18 Mac) memberkas seorang suspek kelahiran Turki atas tembakan di dalam sebuah trem di Utrecht, yang mengorbankan tiga orang. Para pegawai menyifatkan serangan itu sebagai satu serangan pengganas.
Suspek yang dikenal pasti sebagai Gokmen Tanis. (Gambar: Twitter/PolitieUtrecht)
UTRECHT, BELANDA: Polis Belanda pada Isnin (18 Mac) memberkas seorang suspek kelahiran Turki atas tembakan di dalam sebuah trem di Utrecht, yang mengorbankan tiga orang. Para pegawai menyifatkan serangan itu sebagai satu serangan pengganas.
Sebelum itu, polis melancarkan operasi besar-besaran bagi memburu penyerang itu, sambil memberi amaran kepada orang ramai supaya jangan mendekati lelaki itu, menyusuli serangan tersebut, yang menyebabkan lagi lima orang cedera.
Masjid-masjid dan sekolah-sekolah ditutup di merata Utrecht menyusuli serangan itu, sebelum para pegawai bersenjata mengepung sebuah bangunan dan memberkasnya.
Pihak berkuasa Belanda menyatakan bahawa pihaknya masih menyiasat motif serangan itu yang mungkin berunsur serangan pengganas meskipun Perdana Menteri Mark Rutte turut berpendapat bahawa pihak berkuasa "tidak boleh mengecualikan" motif-motif lain termasuk pertikaian keluarga.
"Kami baru menerima maklumat bahawa suspek yang kami cari sudah diberkas," menurut ketua polis Utrecht Rob van Bree dalam satu sidang media dramatik setelah dihulurkan sekeping kertas mengenai pemberkasan itu.
Datuk Bandar Utrecht Jan van Zanen memberitahu sidang media yang sama bahawa hari berkenaan adalah "satu peristiwa hitam bagi Utrecht", manakala pegawai pendakwaan Encik Rutger Jeuken berkata bahawa "ia kelihatan seperti kami sedang berdepan dengan serangan yang bermotif pengganas".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.