Skip to main content

Dunia

Polis bakal rakam keterangan Abdul Hadi, siasat kenyataan ditawar Amerika jatuhkan kerajaan BN

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung kenyataan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Abdul Hadi Awang pernah ditawarkan kerjasama oleh Amerika Syarikat untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2014.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis bakal rakam keterangan Abdul Hadi, siasat kenyataan ditawar Amerika jatuhkan kerajaan BN

Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Abdul Hadi Awang. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 08 Sep 2026 07:46AM
  • PDRM sedang menyiasat dakwaan Abdul Hadi Awang bahawa Amerika Syarikat pernah menawarkan kerjasama untuk menjatuhkan kerajaan BN pada 2014.
  • Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dengan 12 laporan serta 12 saksi telah diambil keterangan.
  • Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur menafikan sebarang cubaan campur tangan dalam politik Malaysia dan menyifatkan tuduhan itu sebagai palsu.
  • Rakaman percakapan Abdul Hadi akan diambil dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan polis.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung kenyataan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Abdul Hadi Awang pernah ditawarkan kerjasama oleh Amerika Syarikat untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2014.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M. Kumar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Setakat ini sebanyak 12 laporan diterima berhubung isu ini dan seramai 12 saksi telah dirakam percakapan,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Isnin (7 Sep), seperti dipetik Astro Awani.

Menurut beliau, rakaman percakapan Encik Abdul Hadi pula akan diambil dalam tempoh terdekat bagi melengkapkan siasatan.

Pada Ahad, Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur menyangkal pernah cuba menentukan kepemimpinan politik Malaysia, sambil menyifatkan sebarang tuduhan sebaliknya sebagai palsu.

Kenyataan tersebut menyusuli kenyataan Encik Abdul Hadi pada Sabtu bahawa seorang wakil Kedutaan Amerika Syarikat pernah bertanya kepadanya berhubung calon yang dicadangkan PAS sebagai perdana menteri, lapor Astro Awani.

Encik Abdul Hadi berkata, dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pimpinan utama PAS turut dimaklum berhubung kemungkinan untuk menjatuhkan kerajaan dan mengambil alih pentadbiran, selain menyatakan bahawa Washington bersedia untuk membantu usaha berkenaan.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita