Polis Australia geledah rumah ada kaitan dengan penembak masjid Christchurch
Polis antipengganasan Australia menggeledah dua kediaman awal hari ini (18 Mac) yang dikaitkan dengan lelaki bersenjata yang dituduh membunuh 50 orang di dua masjid New Zealand minggu lalu, kata polis.
Gambar fail menunjukkan pasukan antipengganas Australia di luar sebuah rumah yang mereka serbu (Gambar: Reuters)
SYDNEY: Polis antipengganasan Australia menggeledah dua kediaman awal hari ini (18 Mac) yang dikaitkan dengan lelaki bersenjata yang dituduh membunuh 50 orang di dua masjid New Zealand minggu lalu, kata polis.
Rumah itu terletak di bandar Sandy Beach dan Lawrence, New South Wales, kedua-duanya berhampiran Grafton di mana Brenton Tarrant, membesar.
“Matlamat utama aktiviti ini adalah untuk mendapatkan bahan bukti secara rasmi yang dapat membantu polis New Zealand dalam siasatan yang sedang dijalankan,” menurut polis dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu lagi, keluarga Tarrant ‘terus membantu siasatan polis’ tetapi tidak ada maklumat yang menunjukkan bahawa masyarakat sedang berdepan ‘ancaman semasa atau di masa akan datang’.
Tarrant, yang taksub dengan ketuanan kulit putih, menghabiskan masa mudanya di Grafton. Namun, dia sering ke luar negara sejak sedekad lalu dan beberapa tahun kebelakangan ini menetap di Dunedin, New Zealand.
Dia didakwa melakukan pembunuhan di negara itu selepas melepaskan tembakan rambang Jumaat lalu hingga mengorbankan 50 orang. 50 yang lain cedera dalam kejadian di dua masjid di bandar Christchurch.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Australia, Peter Dutton, hari ini berkata, Tarrant menghabiskan hanya 45 hari di Australia sepanjang tempoh tiga tahun lalu dan tidak berada dalam senarai pengganas.
Beliau menolak kritikan bahawa agensi antipengganasan Australia telah mengabaikan ancaman pengganas sayap kanan seperti Tarrant sebagai "memalukan" kerana fokus mereka dalam memerangi radikal Islam.
Encik Dutton berkata Pertubuhan Perisikan Keselamatan Australia (ASIO), agensi antipengganasan utama negara itu, menjejaki aktiviti-aktiviti kumpulan syaap kanan.
"Kumpulan pelampau ini - neo-nazi, kumpulan sayap kanan yang melampau - apa sahaja istilah yang anda mahu gunakan, mereka dipantau rapi," katanya dalam satu wawancara televisyen.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.