Polis antipengganasan UK tahan tiga lelaki susulan letupan kereta di Liverpool
Polis Britain memberkas tiga lelaki selepas sebuah kereta meletup di depan Hospital Wanita Liverpool, di pusat bandar, membunuh seorang lelaki dan mencederakan seorang lagi pada pagi Ahad (14 Nov).

(Gambar: AP)
LONDON: Polis Britain memberkas tiga lelaki selepas sebuah kereta meletup di depan Hospital Wanita Liverpool, di pusat bandar, membunuh seorang lelaki dan mencederakan seorang lagi pada pagi Ahad (14 Nov).
Para pegawai menahan tiga lelaki berusia 29, 26 dan 21 tahun, di daerah Kensington, Liverpool di bawah undang-undang antipengganasan, kata Polis Greater Manchester dalam catatan di Twitter.
Lelaki yang terbunuh dalam letupan itu masih belum dikenal pasti, menurut kenyataan itu. Lelaki yang cedera, yang sedang memandu, berada dalam keadaan stabil di hospital.
Polis antipengganasan di daerah itu bekerjasama rapat dengan pasukan Liverpool, tambah kenyataan itu.
Polis Merseyside, yang meliputi Liverpool, berkata dalam satu kenyataan berasingan bahawa sementara polis antipengganasan memimpin siasatan tersebut, letupan itu belum lagi diisytiharkan sebagai insiden pengganas.
“Setakat ini kami difahamkan kereta terbabit adalah sebuah teksi yang berhenti di hospital sejurus sebelum letupan berlaku,” kata polis Merseyside.
TENANG TETAPI BERWASPADA
"Kami menggesa orang ramai agar kekal tenang (tetapi berwaspada)," tambah Polis Merseyside.
Di Twitter, Perdana Menteri Boris Johnson memuji perkhidmatan kecemasan atas tindakan mereka menangani insiden itu.
Menteri Dalam Negeri Priti Patel dalam tweet sebelum ini berkata polis sentiasa memaklumkan perkembangan siasatan terhadap kes tersebut.
"Polis dan perkhidmatan kecemasan kami sedang berusaha keras untuk menentukan punca letupan dan adalah wajar mereka diberi masa dan ruang untuk berbuat demikian," tambahnya.
Letupan itu berlaku sejurus sebelum 11 pagi waktu tempatan, kata polis.
Gambar yang disiarkan di berita dan media sosial menunjukkan tapak letupan dikepung, dan asap tebal menyelubungi udara.
Ketua perkhidmatan bomba Merseyside, Phil Garrigan, berkata ketika mereka tiba di tempat kejadian, api sedang marak.
Seorang lelaki berjaya keluar dari kenderaan tersebut tetapi seorang lagi telah meninggal dunia, tambahnya.
Satu kenyataan dari Hospital Wanita Liverpool menyatakan, sejauh mungkin, pesakit dialihkan ke tempat lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.