Skip to main content

Dunia

Polis anti-pengganasan teraju siasatan pembunuhan ahli politik Britain

Anggaran Waktu Membaca:
Polis anti-pengganasan teraju siasatan pembunuhan ahli politik Britain

Polis menyiasat rumah bekas menteri kerajaan berusia 78 tahun, Ann Widdecombe selepas dia ditemui mati di Haytor, Britain pada 11 Julai 2026. (Gambar fail: Reuters/Jack Taylor)

Diterbitkan : 13 Jul 2026 10:38PM
LONDON: Polis anti-pengganasan mengambil alih siasatan pembunuhan ahli politik sayap kanan veteran Britain, Ann Widdecombe selepas bukti baharu muncul, kata menteri dalam negeri pada Isnin (13 Julai).

Pengumuman itu mengesahkan bahawa polis melihat pengganasan sebagai salah satu motivasi yang mungkin untuk serangan ke atas bekas menteri Konservatif berusia 78 tahun itu, yang ditemui mati pada Khamis di rumahnya di barat daya England.

Setiausaha Dalam Negeri Britain, Shabana Mahmood menulis di X bahawa susulan "maklumat dan bukti baharu", Polis Anti Pengganasan "kini sedang menerajui siasatan terhadap pembunuhan ngeri" Cik Widdecombe.

Cik Shabana dijadual berucap kepada para Anggota Parlimen lewat hari Isnin mengenai siasatan pembunuhan itu.

Ketua polis anti pengganasan United Kingdom, Laurence Taylor, berkata dalam satu kenyataan bahawa "kami sedang menjalankan pelbagai siasatan untuk menentukan motivasi serangan ini".

Pasukan polis serantau yang pada mulanya mengetuai siasatan, Polis Devon dan Cornwall, berkata lewat hari Sabtu bahawa seorang lelaki Britain berusia 28 tahun telah ditangkap di Yorkshire di utara England kerana disyaki membunuh.

Pasukan itu berkata "masih tiada maklumat yang menunjukkan bahawa ini adalah insiden berkaitan pengganasan".

Polis mendakwa Cik Widdecombe dipercayai telah diserang 24 jam sebelum mayatnya ditemui.

Akhbar Daily Telegraph melaporkan, memetik jiran-jirannya, bahawa suspek yang ditangkap di Yorkshire meninggalkan rumahnya di bandar Rotherham pada pagi Rabu membawa sebatang kayu.

Dia ditangkap beberapa jam selepas polis membebaskan seorang lelaki yang mereka tahan sebelum ini.

Cik Widdecombe, seorang Ahli Parlimen Konservatif dari tahun 1987 hingga 2010, dikenali kerana kepercayaan kuat dalam ajaran Kristian dan pandangannya yang lantang.

Pada tahun 1995, sebagai menteri penjara, beliau terlibat dalam perbalahan selepas mempertahankan dasar merantai banduan hamil untuk menghalang mereka daripada melarikan diri.

Seorang penyokong kuat Brexit, Cik Widdecombe meninggalkan parti Konservatif pada tahun 2019 untuk menyertai parti tegar kanan pemimpin anti-imigresen Nigel Farage.
Sumber : AFP/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita