Polis akan panggil Ahli Parlimen, peserta lain terlibat dalam perarakan ke bangunan parlimen M'sia
Polis akan memanggil Ahli Parlimen dan peserta-peserta yang terlibat dalam perarakan ke Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur pada Isnin (2 Ogos) untuk memberi keterangan berhubung perarakan itu.
![Polis akan panggil Ahli Parlimen, peserta lain terlibat dalam perarakan ke bangunan parlimen M'sia Polis akan panggil Ahli Parlimen, peserta lain terlibat dalam perarakan ke bangunan parlimen M'sia](https://dam.mediacorp.sg/image/upload/s--cJS-VeJi--/c_fill,g_auto,h_468,w_830/f_auto,q_auto/v1/berita-migration/federal-reserve-unit-msia-polis.png?itok=rf9Lm2fo)
Pasukan Simpanan Persekutuan Malaysia mengepung jalan raya yang menuju ke bangunan parlimen di Kuala Lumpur sedang Ahli-ahli Parlimen pembangkan membantah penutupannya pada 2 Ogos 2021. (Gambar: Arif Kartono/AFP)
KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil Ahli Parlimen dan peserta-peserta yang terlibat dalam perarakan ke Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur pada Isnin (2 Ogos) untuk memberi keterangan berhubung perarakan itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata kesemua mereka yang terlibat sedang dikenal pasti dan perarakan berkenaan disiasat di bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
"Setakat ini, pihak polis telah menerima dua laporan polis mengenai perarakan berkenaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Awal dari itu, polis menghalang percubaan Ahli Parlimen Pembangkang memasuki pekarangan bangunan Parlimen bagi mendesak supaya sidang khas disambung walaupun ia telahpun ditangguhkan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) berikutan penularan COVID-19.
Kumpulan itu bersurai tanpa sebarang kekecohan selepas diarahkan oleh pihak polis tetapi berlaku banyak perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) khususnya berkaitan penjarakan fizikal ketika perarakan dan sewaktu mereka berkumpul di Dataran Merdeka sebelum berarak menuju ke Parlimen.
Encik Azmi berkata pihaknya menerima maklumat mengenai perarakan berkenaan pada Ahad, menyatakan bahawa perhimpunan solidariti bersama Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim akan diadakan di kawasan Parlimen.
"Pihak polis kemudian membuat pemeriksaan dengan kakitangan Parlimen yang kemudian memberitahu bahawa tiada sebarang sidang Dewan Rakyat diadakan hari ini.
"Oleh itu, pihak polis membuat keputusan untuk melakukan sekatan jalan raya di kawasan sekitar Parlimen bagi tujuan keselamatan," ujarnya.
Beliau menambah seramai 500 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi mengawal keadaan semasa perarakan itu.
Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ yang dianjurkan Sabtu lepas, Encik Azmi berkata 11 peserta dan penganjur sudahpun hadir memberi keterangan. Menurut beliau, 19 laporan polis berhubung isu itu sudahpun diterima.
Beliau menambah pihaknya sedang mengesan 47 individu lain yang dipercayai terlibat dalam perhimpunan berkenaan berdasarkan rakaman video dan gambar yang diperoleh oleh pihak polis.
“Satu kertas siasatan telah dibuka berkaitan perhimpunan ini melibatkan Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.