Poland, Amerika bincang kemungkinan tubuhkan pangkalan tentera tetap
Poland sedang mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat mengenai kemungkinan menubuhkan pangkalan tentera Amerika yang tetap di negara itu, menurut Timbalan Menteri Pertahanan Poland Pawel Zalewski pada Rabu (5 Ogos).
Sistem peluru berpandu Patriot milik Tentera Amerika Syarikat di lapangan terbang Rzeszow-Jasionka, Poland, pada 16 Mac 2022. (Gambar fail: REUTERS/Fabrizio Bensch)
Hampir 10,000 askar Amerika kini ditempatkan di Poland, yang menganggotai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah (EU).
Namun, hampir kesemuanya ditempatkan secara bergilir.
Amerika minggu lalu memulakan semakan rasmi terhadap kehadiran tenteranya di Eropah, dengan matlamat mendorong negara-negara di benua itu memikul "tanggungjawab utama bagi pertahanan konvensional mereka".
Poland, yang bersempadan dengan Ukraine dan Rusia serta memainkan peranan strategik di sayap timur NATO, sedang berusaha memperkukuh kehadiran tentera Amerika di negara itu.
Warsaw memperuntukkan sekitar 5 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) bagi pertahanan.
"Kami sudah menyelesaikan peringkat awal proses itu, apatah lagi kemahuan politik yang sudah lama dinyatakan," kata Encik Zalewski kepada stesen penyiaran awam TVP.
Menurutnya, Washington sudah memaklumkan Warsaw mengenai pembentukan sebuah pasukan Amerika yang akan menjadi rakan Poland dalam rundingan tersebut.
Kedua-dua negara juga sudah bertukar-tukar cadangan, meskipun ia belum dibuat secara rasmi.
Washington sebelum ini mengkritik beberapa negara Eropah yang enggan membenarkan tentera Amerika menggunakan pangkalan NATO di wilayah mereka dalam perang dengan Iran.
Setiausaha Pertahanan Amerika Pete Hegseth turut mengancam untuk mengurangkan sumbangan negaranya kepada belanjawan NATO sekiranya beberapa negara gagal memenuhi komitmen yang dipersetujui pada sidang puncak NATO di The Hague tahun lalu.
Dalam sidang itu, negara-negara anggota NATO berikrar memperuntukkan sekurang-kurangnya 5 peratus GDP bagi perbelanjaan keselamatan menjelang 2035.
Daripada jumlah tersebut, 3.5 peratus diperuntukkan khusus bagi perbelanjaan ketenteraan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.