Skip to main content

Dunia

Pokok Krismas masih tidak boleh diimport ke Saudi

Anggaran Waktu Membaca:
Pokok Krismas masih tidak boleh diimport ke Saudi

(Gambar hiasan: Felicia Buitenwerf/Unsplash)

RIYADH: Pokok Krismas dilarang diimport ke Arab Saudi, menurut laporan media. 

Penguasa Zakat, Cukai dan Kastam Saudi (ZATCA) mengesahkan larangan tersebut, dengan menegaskan pokok Krismas adalah lambang kepercayaan golongan bukan Muslim, lapor akhbar tempatan Alwatan. 

Tindakan itu menyebabkan sesetengah pihak mengecam pihak berkuasa Saudi kerana dilakukan di tengah-tengah gelombang liberalisasi di negara itu.

Riyadh sebelum ini membenarkan perayaan Halloween, konsert muzik pop dan hiburan lain. 

"Adakah agama kami begitu rapuh sehinggakan ada pihak boleh dipengaruhi hanya melalui pokok Krismas? Atau penyertaan dunia dalam menyambut hari lahir seorang utusan yang kelahirannya turut kami iktiraf?" kata seorang wartawan Saudi, Turki Al-Hamad, di Twitter pada Isnin (7 Nov). 

"Arab Saudi hari ini memaparkan dirinya sebagai negara yang toleransi dan menerima semua agama dan mazhab. Adakah keputusan sebegini membantu memberi gambaran tersebut? Saya tidak rasa begitu." 

Menurut salah satu laporan agensi berita, ZATCA  "melarang import bukan sahaja pokok Krismas tetapi sebarang lambang lain yang dimiliki agama lain, selain Islam". 

Laporan tersebut menyatakan ZATCA memuat naik kenyataan media itu di Twitter pada Sabtu (5 Nov) menyusuli pertanyaan seorang wanita Saudi. 

Namun, muatan itu dipercayai sudah dipadamkan, menurut The New Arab. 

Saluran TV yang dimiliki Saudi Al-Ekhbariya memuat naik rakaman video di YouTube dan Twitter pada Ahad (6 Nov) yang menyatakan ZATCA mengesahkan larangan tersebut. 

Dalam akaun Twitternya ZATCA menjelaskan pada Krismas tahun lalu, bahawa mengimport pokok Krismas dilarang, namun hantaran itu kemudian dipadamkan, menurut The New Arab. 

Meskipun terdapat larangan mengimport pokok Krismas, Riyadh baru-baru ini menyaksikan perayaan Halloween - yang sebelum ini tidak dibenarkan. 

Empat tahun lalu, polis Saudi menyerbu pesta Halloween di ibu kota dan memberkas beberapa orang. 

Sambutan Hari Kekasih juga  dibenarkan di Arab Saudi sejak beberapa tahun ini. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita