Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PN sedia kemuka bukti sangkal dakwaan sogok pengundi PRU15

Anggaran Waktu Membaca:
PN sedia kemuka bukti sangkal dakwaan sogok pengundi PRU15

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin bersama pemimpin-pemimpin parti komponen PN hadir ke Rumah Terbuka Tahun Baru Cina parti itu di ibu pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia di Kuala Lumpur pada 22 Januari 2023. (Gambar: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mendakwa mempunyai bukti kukuh untuk menafikan dakwaan gabungan itu melakukan sogokan wang kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata pasukan pembelaan parti itu sudah bersedia untuk membuktikan bahawa dakwaan oleh UMNO Terengganu yang dibuat melalui petisyen pilihan raya itu, adalah tidak benar.

“Sudah tentu bila dia cabar kita dengan membuat petisyen, kita akan pastikan bahawa kita ada bukti untuk menunjukkan itu semua tak betul. Tujuan petisyen ini semata-mata kerana tak puas hati atau sebagainya.

“Tapi kita juga ada kita punya pasukan pembelaan untuk memastikan kita menang,” katanya kepada para pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina PN di ibu pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia di Kuala Lumpur pada Ahad (22 Jan).

Badan Perhubungan UMNO Terengganu awal bulan lalu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman yang kesemuanya dimenangi PAS, yang merupakan parti komponen PN.

Petisyen melibatkan tiga kawasan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Jan lalu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Ahmad Said berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Mengulas mengenai pemberian wang ketika pilihan raya, Encik Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata ia bergantung kepada situasi dan niat wang tersebut diberikan.

“Kadang-kadang mereka (penerima wang) yang minta daripada calon sebab kadang-kadang mereka mahu baiki rumah. Sebab itu kita kena berhati-hati, dan niat itu penting kenapa kita beri wang kepada orang yang minta itu,” katanya.
Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan