PN rombak pentadbiran; Mohd Radzi, Azmin Ali digugurkan
Perikatan Nasional (PN) pada Rabu (17 Jun) mengumumkan penstrukturan semula pentadbiran PN dengan menghentikan perkhidmatan Naib Presiden BERSATU Mohd Radzi Md Jidin dan Setiausaha Agung BERSATU Mohamed Azmin Ali berkuat kuasa serta-merta.
Ahmad Samsuri berkata, rombakan berkuat kuasa serta-merta itu dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan PN. (Gambar: Astro AWANI)
Pengerusi PN Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam kenyataan pada Rabu malam berkata langkah itu dibuat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan dalam masa terdekat.
Beliau berkata Mohd Radzi yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN digantikan oleh Menteri Besar Kedah, yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Parti Se-Islam Malaysia (PAS) Pusat Muhammad Sanusi Md Nor.
"Muhammad Sanusi pula diberhentikan daripada jawatan Bendahari PN dan digantikan oleh Subramaniam Surunaryan (Timbalan Presiden Parti Rakyat India Malaysia) . Timbalan Setiausaha Agung Mohamed Azmin telah diberhentikan perkhidmatan bagi memenuhi kehendak Perlembagaan Perikatan Nasional,” menurut kenyataan itu.
Dr Ahmad Samsuri berkata penstrukturan semula itu dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Fasal 8.3 (V), (VI) dan (VII) Perlembagaan PN.
"Suatu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuh organisasi PN," katanya.
Sebelum ini, PAS secara rasmi mengumumkan bahawa parti itu menghentikan segala bentuk kerjasama politik dengan BERSATU.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.