Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PN lancar manifesto PRU15; ikrar wujudkan 1 juta pekerjaan

Anggaran Waktu Membaca:

SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) pada Ahad (6 Nov) mengemukakan manifesto bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk memberikan tumpuan kepada usaha merancakkan ekonomi melalui Tabung Khas Galakan Pelaburan berjumlah RM5 bilion (S$1.4 juta) dan mencipta sejuta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Semasa melancarkan manifesto PN di Shah Alam pada Ahad malam (6 Nov), Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata ia merupakan antara 50 tawaran utama gabungan itu selain akses perkhidmatan kesihatan terpilih secara percuma di klinik swasta dan hospital kerajaan.

"Sesetengah orang bertanya sama ada kami boleh melakukannya. Saya kata, ya. Kenapa? Kerana kami mempunyai pengalaman," kata Encik Muhyiddin. 

Beliau malah berkata sewaktu tempohnya sebagai perdana menteri, kerajaan berjaya mewujudkan 558,000 pekerjaan pada 2021.

"Saya percaya, jika kami diberikan mandat, kami boleh melakukannya dengan lebih baik lagi," tekan pengerusi PN itu. 

PN juga menawarkan kenaikan kadar elaun sara hidup penjawat awam sebanyak RM100 (S$29.66) serta potongan 25 peratus bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk graduan kelas kedua atas.

Selain itu, mewujudkan Mahkamah Anti Rasuah, memacu pembangunan inklusif Sabah dan Sarawak melalui pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963, penubuhan universiti awam baru di Sabah dan Sarawak serta pelantikan Senator dalam kalangan belia dan beliawanis.

Dalam ucapannya, Encik Muhyiddin berkata sekiranya dilantik sebagai kerajaan, mesyuarat pertama Kabinet PN adalah untuk membincangkan cara-cara bagi mengatasi isu kos sara hidup yang meningkat disebabkan inflasi. 

"Untuk menghuraikan isu tersebut, kerajaan perlu melihat kepada isu gangguan bekalan dan kos import dengan lebih serius lagi, khususnya dengan susutan wang ringgit berbanding mata wang lain, terutama sekali dolar Amerika," katanya. 

Mantan Perdana Menteri itu turut memberi jaminan bahawa semua inisiatif Bajet 2023, termasuk bantuan kepada rakyat dan penjawat awam, akan dilaksana serta ditambah baik buat semua lapisan masyarakat.

PN dibentuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) serta parti-parti di Sabah, Parti Progresif Sabah dan Parti Solidariti Tanah Airku. 

Sumber : AGENCIES/ZM/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan