Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PN kekal pendirian tidak sertai kerajaan M'sia, main peranan pembangkang berwibawa

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) kekal dengan pendirian untuk tidak menyertai kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH), walaupun selepas ditawarkan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim untuk menyertai kerajaan pimpinan beliau.

Pengerusinya, Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu mengucapkan terima kasih kepada Encik Anwar atas tawaran berkenaan namun menolaknya atas semangat menyuburkan demokrasi dan melaksanakan peranan semak dan imbang yang berkesan dalam Parlimen Malaysia.
“PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen serta memastikan tadbir urus kerajaan yang berintegriti dan bebas rasuah selaras dengan prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil.

"Demi untuk memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, PN bersedia untuk merintis bentuk-bentuk kerjasama yang lain dengan kerajaan dalam ruang lingkup hubungan antara kerajaan dan pembangkang," katanya dalam kenyataan pada Jumaat (25 Nov).

Pada sidang media sulung perdana menteri Malaysia pada Khamis malam (24 Nov), Encik Anwar menegaskan kerajaan perpaduan yang dibentuk dengan penyertaan PH, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) setakat ini, akan memastikan kestabilan negara dan ekonomi serta menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan.

Bercakap dalam sidang media pada hari pertamanya memasuki Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra di Putrajaya pada Jumaat pagi pula, Encik Anwar berkata kerajaan perpaduan pimpinannya telah mencapai majoriti dua pertiga melalui penyertaan terkini oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Encik Anwar berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan