PN dijangka umum calon minggu depan, kata Hamzah Zainuddin
Gambar: BERNAMA
JOHOR BAHRU: Perikatan Nasional (PN) dijangka mengumumkan senarai calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor minggu depan, kata Setiausaha Agungnya, Hamzah Zainuddin.
Beliau yang juga Pengarah PRN Johor berkata kesemua 56 bakal calon itu akan diteliti dari segenap aspek untuk memastikan mereka bebas daripada sebarang rekod buruk termasuk jenayah sebelum dibenarkan bertanding.
“Siapa (calon) yang kita terima (termasuk) daripada parti komponen, kita akan teliti daripada segi rekod jenayah, sama ada mereka ada masalah dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).. (kemudian) baru kita umumkan,” katanya semalam (11 Feb).
Beliau berkata demikian kepada para pemberita dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Program Kotak Prihatin dan Penyerahan Kotak Prihatin kepada Pertubuhan Pemandu Teksi Johor Bahru semalam.
Awal dari itu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu dalam ucapannya di program tersebut turut menzahirkan keyakinan bahawa PN yang dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) mampu meraih kejayaan pada PRN berkenaan.
Rabu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon bagi PRN Johor adalah pada 26 Feb dan hari mengundi pada 12 Mac.
Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh dilaporkan sebagai berkata bahawa SPR, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara sedang mengemas kini SOP bagi pelaksanaan pilihan raya sebagai pencegahan penularan COVID-19.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.