Skip to main content

Dunia

PM Wickremesinghe galas tugas tambahan selia Kementerian Kewangan Sri Lanka

Anggaran Waktu Membaca:
PM Wickremesinghe galas tugas tambahan selia Kementerian Kewangan Sri Lanka

Gambar: Handout / SRI LANKAN PRESIDENT'S OFFICE / AFP

Diterbitkan : 25 May 2022 05:34PM
COLOMBO: Perdana Menteri (PM) Sri Lanka Ranil Wickremesinghe kini diberikan tanggungjawab tambahan untuk menguruskan Kementerian Kewangan negara itu.

Beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Kewangan Sri Lanka hari ini (25 Mei).

Pelantikan itu sekali gus menamatkan perbalahan selama dua minggu antara rakan-rakan perikatan Sri Lanka bagi jawatan penting tersebut.

Encik Wickremesinghe kini akan menerajui rundingan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi menyelamatkan negara yang dilanda krisis itu.

Beliau juga dijadual membentangkan Belanjawan Negara sementara dalam masa enam minggu akan datang.

Pemerintah Sri Lanka menyasar untuk mengurangkan perbelanjaan bagi projek-projek prasarana dalam usaha untuk membantu menstabilkan ekonomi negara itu.

"Kami tahu ia sesuatu yang sukar dan maka itu, kami menimbang untuk menyediakan satu program bantuan bagi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun," kata Encik Wickremesinghe.

"(Kami akan membentangkan) Belanjawan sementara, di mana kami akan memotong semua perbelanjaan bagi kerja-kerja pembangunan dan memperuntukkan lebih banyak wang, yang pertama, untuk memastikan agar kami boleh membayar kadar faedah yang lebih tinggi dan kedua, untuk memastikan agar terdapat lebih banyak wang untuk mereka yang terjejas," tambah beliau.

Namun Encik Wickremesinghe menegaskan bahawa langkah itu sahaja tidak mencukupi.

Encik Wickremesinghe juga sedang bergelut untuk menangani kadar inflasi yang melonjak.

Beliau memberi amaran tekanan harga akan bertambah buruk dalam hari-hari mendatang sedang pemerintah cuba untuk menangani krisis tersebut.

Pada April lalu, Indeks Harga Pengguna Nasional naik 33.8 peratus lebih tinggi berbanding kenaikan 21.5 peratus pada Mac.

Kebimbangan tentang inflasi bagi tempoh jangka pendek juga bertambah, dengan keputusan untuk menaikkan harga minyak semalam.

Langkah itu menyebabkan para penduduk di Sri Lanka beratur panjang di stesen-stesen minyak, dengan ada yang tunggu beberapa jam tanpa mendapatkan bekalan minyak.
Sumber : Agensi berita/AI/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita