Skip to main content

Dunia

PM Thailand tekankan tidak akan berundur meskipun didesak

Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha pada Selasa (27 Okt) berkata tidak akan berundur meskipun terdapat desakan oleh parti-parti pembangkang pada sesi parlimen khas.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Thailand tekankan tidak akan berundur meskipun didesak

Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 28 Oct 2020 04:42PM Dikemas Kini : 28 Oct 2020 04:46PM

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha pada Selasa (27 Okt) berkata tidak akan berundur meskipun terdapat desakan oleh parti-parti pembangkang pada sesi parlimen khas.

Sesi itu diadakan bagi membincangkan protes yang sedang berlangsung, menuntut perubahan politik selain mahu Perdana Menteri meletak jawatan.

"Negara sedang berhadapan masalah. Saya tidak akan lari daripada masalah. Saya akan terus bekerja,” katanya pada sidang khas itu yang berakhir pukul 10.00 malam (waktu tempatan) Selasa.

Encik Prayuth meminta sesi parlimen khas diadakan bagi membincangkan tunjuk perasaan yang sudah berlarutan selama berbulan-bulan.

Sejak pertengahan Julai, penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun di Bangkok dan bandar-bandar lain, mengulangi tuntutan mereka untuk perubahan politik termasuk pengunduran perdana menteri, pembubaran Parlimen, penggubalan semula perlembagaan, dan perubahan monarki.

Sementara itu, Encik Prayuth bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa dianggotai semua pihak termasuk perwakilan gabungan pemerintah dan kumpulan penunjuk perasaan dalam usaha mengakhiri ketegangan politik yang kian memuncak di negara ini.

Beliau mengingatkan kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan supaya tidak mengheret negara lain ke kancah urusan dalaman kerajaan.

"Jangan bawa masuk negara lain. Kita harus mengekalkan kedaulatan negara,” katanya.

Encik Prayuth juga melahirkan kebimbangan sekiranya pergolakan politik akan mempengaruhi pemulihan ekonomi Thailand daripada pandemik COVID-19.

Sementara itu, dalam ucapan penutupnya, Ketua Whip pembangkang Encik Sutin Klangsang berkata parti-parti pembangkang akan meminta parlimen membahaskannya bulan depan sebelum tunjuk perasaan semakin berleluasa.

"Prayuth mesti letak jawatan. Jika beliau enggan, saya khuatir tunjuk perasaan akan terus memuncak. Oleh itu, saya meminta perdana menteri untuk berkorban,” katanya.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita