PM Thailand Paetongtarn Shinawatra berdepan usul tidak yakin di parlimen
Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra berdepan usul tidak yakin di Parlimen mulai Isnin (24 Mac), dengan pihak pembangkang akan menyoal beliau berhubung prestasi ekonomi yang lemah dan pengaruh bapanya terhadap pentadbiran beliau.
(Gambar: AFP)
Meskipun meraih sokongan sederhana dalam tinjauan pendapat, Cik Paetongtarn tampil dalam kedudukan kukuh menjelang perbahasan tersebut, tanpa sebarang tanda keretakan dalam gabungan pemerintah yang menguasai majoriti parlimen, justeru menjadikan usul itu mungkin tidak akan berjaya dalam pengundian pada Rabu (26 Mac).
Parti pembangkang, Parti Rakyat menuduh Cik Paetongtarn menerima arahan daripada bapanya, Thaksin Shinawatra yang dilarang memegang jawatan awam akibat sabitan kesalahan penyalahgunaan kuasa dan konflik kepentingan, yang menyebabkan beliau hidup dalam buangan selama 15 tahun.
Namun, Cik Paetongtarn menegaskan bahawa kerajaannya bebas daripada pengaruh sesiapa pun, manakala Thaksin, 75 tahun berkata beliau telah bersara dan hanya memberi nasihat apabila diperlukan.
Mengikut peraturan parlimen, anggota Dewan tidak dibenarkan menyebut nama Thaksin secara langsung dalam usul tersebut kerana beliau bukan anggota parlimen.
Namun, selepas perbahasan berminggu-minggu mengenai isu itu, Speaker Dewan membenarkan penggunaan istilah 'ahli keluarga' sebagai ganti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.