PM Thailand didesak letak jawatan untuk elak pemberontakan dalam kerajaan campuran
Perdana Menteri Thailand yang menghadapi tekanan, Paetongtarn Shinawatra sedang berdepan kemungkinan kehilangan majoriti dalam parlimen pada Jumaat (20 Jun).
Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, semasa sidang media di Rumah Kerajaan, di Bangkok pada 19 Jun 2025. (Gambar: AFP/Lillian Suwanrumpha)
Beliau adalah anak perempuan kepada mantan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, seorang hartawan berkontroversi. Cik Paetongtarn, yang dikatakan kurang pengalaman dalam bidang politik, sedang bergelut menangani pelbagai cabaran. Ini termasuk usahanya untuk menghidupkan semula ekonomi Thailand yang lesu akibat tarif Amerika Syarikat yang tinggi serta menghadapi tekanan untuk bersikap lebih lebih tegas dalam pertikaian wilayah dengan Kemboja, di mana tentera kedua-dua pihak sudah dikerahkan ke sempadan.
Parti Negara Thai Bersatu (UTN), sekutu kedua terbesar dalam kerajaan campuran itu, dijangka menuntut agar Cik Paetongtarn, 38 tahun, meletak jawatan sebagai syarat untuk mengekalkan parti itu dalam kerajaan yang diterajui Parti Pheu Thai, menurut dua sumber UTN yang enggan dikenal pasti kerana mereka tidak diberi kebenaran untuk bercakap kepada media.
"Jika beliau tidak meletak jawatan, UTN akan keluar daripada kerajaan," kata salah sumber itu. "Kami mahu ketua parti memaklumkannya kepada Perdana Menteri sebagai tanda hormat."
Meskipun Cik Paetongtarn menerima sokongan daripada satu lagi rakan kongsi kerajaan campurannya, iaitu Parti Demokrat, pada Jumaat, kedudukannya masih goyah. Majoritinya dalam parlimen kini bergantung pada keputusan UTN untuk terus kekal dalam kerajaan, susulan tindakan Parti Bhumjaithai, yang lebih besar, menarik diri pada Rabu.
UTN belum menyatakan bila ia akan mengumumkan keputusan untuk kekal dalam kerajaan. Ditanya mengenai keputusan itu, jurucakap UTN Akaradej Wongpitakroj enggan mengulas lebih lanjut. "Kami perlu tunggu ketua parti memaklumkan Perdana Menteri terlebih dahulu," katanya.
Kebimbangan pasaran kewangan amat jelas dengan nilai baht Thailand merosot buat sesi kelima berturut-turut pada Jumaat, dan dijangka mencatat prestasi mingguan terburuk sejak hujung Februari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.