Skip to main content

Dunia

PM Thai nafi kemungkinan rampasan kuasa

Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha pada Isnin (23 Nov) menolak desas-desus tentang rampasan kuasa bagi mengakhiri ketegangan politik di negara itu ketika tekanan mendesak bekas pemimpin tentera tersebut meletak jawatan semakin hebat. 

Anggaran Waktu Membaca:
PM Thai nafi kemungkinan rampasan kuasa

Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 24 Nov 2020 07:41AM Dikemas Kini : 24 Nov 2020 07:45AM

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha pada Isnin (23 Nov) menolak desas-desus tentang rampasan kuasa bagi mengakhiri ketegangan politik di negara itu ketika tekanan mendesak bekas pemimpin tentera tersebut meletak jawatan semakin hebat.

Encik Prayuth yang juga Menteri Pertahanan berkata beliau tidak mahu tunjuk perasaan oleh pihak antikerajaan dan penyokong raja bertukar ganas.

“Saya perdana menteri dan saya tidak mahu rakyat Thailand saling berbunuhan sekali lagi. Saya tidak mahu mana-mana pihak menggunakan keganasan lagi, khususnya ketika COVID-19.

“Masalah kita sudah cukup banyak dalam mengatasi (cabaran) ekonomi,” katanya di sidang media selepas mesyuarat mingguan jemaah menteri di Rumah Kerajaan semalam (23 Nov).

Beliau ditanya tentang kemungkinan berlaku pertembungan antara pihak antikerajaan dan penyokong raja yang boleh membawa kepada rampasan kuasa oleh tentera.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Thailand menguncup 6.4 peratus pada suku ketiga, lebih kecil berbanding yang dijangkakan, menunjukkan pemulihan selepas mencatatkan penurunan 12.1 peratus pada suku kedua - penguncupan paling besar dalam tempoh dua dekad.

Bank Thailand menjangkakan kegiatan ekonomi di negara itu mengambil masa dua tahun untuk kembali ke tahap sebelum penularan COVID-19.

Ketidaktentuan politik di Thailand yang berlaku sejak pertengahan Julai menuntut perubahan politik termasuk peletakan jawatan oleh Prayuth, pembubaran Parlimen, penggubalan semula perlembagaan dan pembaharuan terhadap sistem raja.

Ketegangan meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini apabila penyokong raja turut mengadakan tunjuk perasaan.

Bantahan yang diadakan di luar Parlimen pada Selasa lalu bertukar ganas apabila polis antirusuhan melepaskan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan antikerajaan, menyaksikan 55 cedera termasuk enam yang terkena tembakan senjata api.

Kumpulan antikerajaan dijangka mengadakan satu lagi bantahan pada esok, dengan seorang daripada pemimpin pelajar dipetik sebagai berkata “akan berlaku satu kejutan besar” pada bantahan itu.  

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita