Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Thai mungkin bersara daripada politik susuli kekalahan pilihan raya

Anggaran Waktu Membaca:
PM Thai mungkin bersara daripada politik susuli kekalahan pilihan raya

(Gambar: Parti Negara Thai Bersatu)

BANGKOK: Timbalan Ketua parti United Thai Nation Thanakorn Wangboonkongchana berkata pada Isnin (15 Mei) bahawa beliau tidak berasa bahawa Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha akan meneruskan kerjaya politiknya selepas parti mereka kalah dalam pilihan raya Thailand.

"Beliau belum berkata apa-apa tetapi saya rasa beliau mungkin perlu bersara," kata Encik Thanakorn kepada media tempatan.

Beliau merujuk kepada Encik Prayut, 69 tahun, yang bertanding bagi jawatan perdana menteri di bawah Parti United Thai Nation.

Keputusan awal yang terbaru daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand menunjukkan parti-parti lawannya Move Forward dan Pheu Thai berada di kedudukan kedua tertinggi dalam persaingan pilihan raya yang bermula pada Ahad (14 Mei).

Parti Move Forward muncul di tempat pertama dengan 152 kerusi, disusuli oleh Parti Pheu Thai dengan 141 kerusi. Manakala United Thai Nation pula berada di tempat kelima dengan hanya 36 kerusi.

Encik Thanakorn menyuarakan sokongan beliau kepada Jeneral Prayut dan berkongsi rasa kagum kepada jeneral berkenaan yang sudah bekhidmat sebagai perdana menteri selama lebih lapan tahun.

"Beliau sudah mengabdikan dirinya untuk negara ini. Beliau berkhidmat untuk negara ini sekitar lapan tahun sebagai perdana menteri. Saya percaya rakyat Thai di seluruh negara tahu sebanyak mana yang sudah beliau lakukan untuk negara ini dan reputasi beliau tidak pernah tercalar - tiada rasuah dan sebagainya," kata timbalan ketua parti itu.

"Saya percaya sekurang-kurangnya, Jeneral Prayut atau Uncle Tu akan kekal di hati rakyat Thai untuk satu masa yang panjang."

Jeneral Prayut menjadi perdana menteri pada 2014 selepas memimpin rampasan kuasa untuk menggulingkan kerajaan Cik Yinluck Shinawatra yang dipilih secara demokrasi.

Junta tentera di bawah kepimpinan beliau memerintah Thailand selama hampir lima tahun sebelum pilihan raya umum diadakan pada 2019 di bawah perlembagaan baru yang ditulis oleh sebuah jawatankuasa yang dilantik tentera.

Pada waktu itu Jeneral Prayut merupakan satu-satunya calon perdana menteri bagi parti yang menyokong junta, iaitu Palang Pracharat. Parti itu berjaya membentuk kerajaan dengan sekutu politiknya, meskipun Parti Pheu Thai memenangi majoriti kerusi di Dewan Rakyat.

Encik Prayut menyertai pilihan raya pada Ahad, dengan harapan untuk terus berkuasa selepas lebih lapan tahun.

SIAPA BOLEH BENTUK KERAJAAN?

Encik Pita Limjaroenrat, ketua dan calon perdana menteri bagi Parti Move Forward sudah mengumumkan pada Isnin bahawa beliau menerima sokongan yang mencukupi daripada sekutu politik untuk membentuk kerajaan majoriti.

Buat masa ini, gabungannya termasuk lima parti pembangkang iaitu Move Forward, Pheu Thai, Prachachat, Thai Sang Thai dan Seri Ruam Thai serta satu parti baru – Parti Fair.

Bersama-sama, mereka membentuk 310 Anggota Palimen (AP). Bermakna lebih separuh daripada 500 kerusi di Dewan Perwakilan.

Sekalipun demikian, masih terdapat ketidakpastian tentang sama ada Parti Move Forward boleh membentuk kerajaan seterusnya dan siapa yang akan menyandang jawatan perdana menteri.

Pemilihan perdana menteri di bawah perlembagaan Thailand sekarang melibatkan kedua-dua Dewan Perwakilan dan 250 anggota Senat - dewan tertinggi parlimen.

Para senator dipilih dan dilantik pada 2019 oleh Majlis Kebangsaan untuk Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) - iaitu kerajaan tentera yang dipimpin oleh Jeneral Prayut menyusuli rampasan kuasa pada 2014.

Untuk seorang calon menjadi perdana menteri, individu itu mesti diluluskan oleh lebih separuh daripada gabungan perhimpunan tersebut.

Ini bermakna Parti Move Forward perlu mendapat sekurang-kurangnya 376 undi - sama ada daripada kedua-dua Dewan atau hanya daripada Dewan Rakyat - untuk menyandang jawatan perdana menteri dan membentuk kerajaan.

Menyusuli pilihan raya 2019, semua kecuali seorang senator mengundi untuk Jeneral Prayut menjadi perdana menteri.
Sumber : CNA/NK/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan