Skip to main content

Dunia

PM Thai gesa segera bincang dengan Malaysia susuli larangan import udang

Anggaran Waktu Membaca:
PM Thai gesa segera bincang dengan Malaysia susuli larangan import udang

Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul menyampaikan kenyataan dasar kerajaannya kepada parlimen di Bangkok, Thailand, pada 9 April 2026. (Gambar: Reuters/Athit Perawongmetha)

Diterbitkan : 03 Jun 2026 09:52PM Dikemas Kini : 03 Jun 2026 10:34PM
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul menyeru diadakan rundingan segera dengan Malaysia susulan larangan sementara negara itu ke atas lima spesies udang Thailand sebagai sebahagian daripada kawalan yang lebih ketat ke atas produk perikanan Thailand.

Encik Anutin mengeluarkan arahan itu dalam mesyuarat Kabinet pada Selasa (2 Jun) dan memberi amaran bahawa sekatan yang berpanjangan boleh menjejas mata pencarian penternak udang, pengeksport dan keseluruhan rantaian bekalan makanan laut, kata jurucakap kerajaan Thailand, Ratchada Thanadirek.

Cik Ratchada menambah bahawa Encik Anutin telah mengarahkan beberapa menteri dalam Kabinetnya, termasuk menteri perdagangan serta menteri pertanian dan koperasi, agar mengadakan perbincangan segera dengan pihak berkuasa Malaysia bagi mencari huraian perdagangan dua hala sambil melindungi kepentingan penternak Thailand.

Menteri perdagangan Thailand ialah Suphajee Suthumpun, yang juga merupakan timbalan perdana menteri, manakala menteri pertanian dan koperasi ialah Suriya Jungrungreangkit.

Cik Ratchada berkata bahawa agensi berkaitan sudah diarahkan mengambil langkah mengurangkan kesan sekatan tersebut, termasuk menstabilkan harga ladang, menguruskan lebihan bekalan domestik dan mempercepat usaha mencari pasaran eksport alternatif.

Harga ladang merujuk kepada harga yang meliputi kos dan keuntungan pengeluar sebelum produk berkenaan dieksport.

Thailand mengeksport kira-kira 6,000 hingga 8,000 tan udang ke Malaysia setiap tahun, yang menyumbang kira-kira 5 peratus daripada seluruh eksport udang Thailand. Akhbar Bangkok Post melaporkan, larangan itu boleh menyebabkan Thailand kerugian lebih 4 bilion baht (S$0.14 bilion) setahun.

Malaysia merupakan pasaran eksport yang mudah diakses kerana pengeluar Thailand tidak perlu menghantar produk mereka ke wilayah tengah negara itu - iaitu tempat di mana biasanya perdagangan diurus dan diedarkan. Selain itu, Malaysia mampu menyerap hasil daripada akuakultur dan perikanan pesisir pantai, yang terletak di selatan Thailand.

Larangan import, yang berkuat kuasa pada Isnin lalu, pertama kali diumumkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia pada 16 Mei. Langkah itu digambarkan oleh Pejabat Hal Ehwal Komersial Malaysia sebagai tindak balas perdagangan serta sebahagian daripada usaha meningkatkan piawai keselamatan makanan negara.

Larangan itu meliputi udang harimau hitam, udang kaki putih, udang pisang, udang perang dan udang biru. Ia termasuk penguatkuasaan sijil analisis yang disahkan makmal untuk import ikan siakap bagi membuktikan pematuhan terhadap piawai kementerian kesihatan tempatan.

Pihak berkuasa Malaysia sebelum ini menjelaskan, larangan itu merupakan langkah timbal balas terhadap sekatan yang dikenakan Thailand ke atas import produk perikanan Malaysia sejak Mac 2024, selepas jabatan perikanan Thailand mengesan isu sisa menyusuli pemeriksaan ke atas ikan siakap yang diimport dari Malaysia, lapor portal berita Thailand, Khaosod.

Sumber di pusat pemeriksaan kastam Sadao Songkhla berkata bahawa ikan siakap Malaysia tidak memasuki lintasan sempadan Sadao atau Padang Besar - dua lintasan darat utama antara Malaysia dan Thailand - selama beberapa bulan selepas gagal mendapat kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Thailand, menurut Khaosod.

Pengeksport ikan siakap Malaysia juga dilaporkan merungut tentang pemeriksaan yang berpanjangan di pusat pemeriksaan sempadan Sadao di Songkhla, yang boleh mengambil masa sehingga dua hari dan menjejaskan kesegaran produk, lapor Bangkok Post.

Sementara itu, penternak ikan domestik Thailand mengadu bahawa import yang lebih murah dari Malaysia telah menjejas daya saing pengeluar tempatan, lapornya lagi.

Ia menambah bahawa langkah-langkah tersebut bertujuan untuk memastikan import ikan siakap dan udang mematuhi piawaian keselamatan dan mutu yang ditetapkan.

Larangan sementara Malaysia itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengeluar udang Thailand, dengan Persatuan Udang Thailand dan Perikatan Penternak Udang Thailand mengemukakan surat kepada Encik Anutin untuk mendapatkan bantuan segera bagi penternak udang dan nelayan pantai yang terjejas, lapor saluran berita Thailand, The Nation.

Kumpulan-kumpulan tersebut mengatakan tempoh yang singkat antara pengumuman larangan dan tarikh pelaksanaannya boleh menjejaskan pendapatan pengeksport Thailand dan melemahkan keyakinan perniagaan. Mereka turut memberi amaran tentang lebihan bekalan domestik jika penternak terpaksa mengalihkan hasil udang ke pasaran tempatan dalam masa yang singkat.

Preecha Sukkasem, naib presiden Persatuan Udang Thailand, berkata pemeriksaan yang lebih ketat boleh menjejas penternak di wilayah selatan yang mengeksport udang ke Malaysia dan Singapura, lapor Bangkok Post.

Sementara itu, senator Songkhla Chaiyong Maneerungsakul dilaporkan menggesa kerajaan agar mempercepatkan rundingan dengan Malaysia bagi mengelakkan kerugian selanjutnya.
Sumber : Agensi berita/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita