PM Thai digesa letak jawatan selepas kandungan panggilan telefon dibocorkan
Penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun di Tuju Kemenangan semasa bantahan, yang menggesa PM Paetongtarn Shinawatra meletak jawatan, di Bangkok, Thailand pada 28 Jun 2025. (Gambar: REUTERS/Chalinee Thirasup)
BANGKOK: Ratusan penunjuk perasaan berkumpul di kawasan Tugu Kemenangan di Bangkok, ibu kota Thailand pada Sabtu (28 Jun) untuk menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra.
Ini sedang kerajaan beliau menghadapi kemarahan yang meningkat berhubung pertikaian sempadan dengan Kemboja.
Polis menganggarkan seramai 6,000 orang berhimpun di kawasan itu, berdasarkan kamera dron pada 3.30 petang, menurut Mejar Jeneral Polis Thawat Wongsanga, timbalan pesuruhjaya Biro Polis Metropolitan (MPB).
Polis menganggarkan perhimpunan itu menjangkaui 10,000 orang menjelang lewat petang Sabtu, lapor Bangkok Post.
Bantahan itu menambah tekanan terhadap Cik Paetongtarn, yang sedang berjuang untuk memulihkan ekonomi negara yang goyah dan mengekalkan kerajaan campuran yang rapuh.
Cik Paetongtarn berkata beliau tidak bimbang tentang bantahan itu dan sebaliknya mengarahkan pihak berkuasa supaya memastikan perhimpunan itu dijalankan secara aman.
"Ia adalah hak mereka dan saya tidak akan mengambil tindak balas," katanya.
Cik Paetongtarn yang kini mempunyai majoriti tipis dalam parlimen menyusuli pengunduran Parti Bhumjaithai pada minggu lalu, berdepan usul undi tidak yakin dalam sidang parlimen pada minggu depan.
Parti Bhumjaithai pada minggu lalu menarik balik sokongan untuk kerajaan atas alasan risiko kehilangan kedaulatan dan integriti Thailand menyusuli perbualan telefon yang bocor antara Cik Paetongtarn dengan mantan perdana menteri Kemboja, Hun Sen.
Dalam perbualan itu, Cik Paetongtarn dilihat cuba memujuk ahli politik veteran Kemboja itu sambil mengkritik seorang komander tentera Thailand sendiri. Perbuatan itu dianggap sebagai menghina angkatan tentera yang mempunyai pengaruh dalam politik negara itu.
Beliau sudah memohon maaf atas kata-katanya itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.