Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Sri Lanka dilantik sebagai pemangku presiden

Perdana Menteri Sri Lanka Ranil Wickremesinghe dilantik sebagai pemangku presiden kerana penyandangnya, Gotabaya Rajapaksa, kini berada di luar negara. Demikian umum speaker parlimen pada  Rabu (13 Jul) sedang ribuan penunjuk perasaan menuntut agar kedua-dua pemimpin itu meletak jawatan.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Sri Lanka dilantik sebagai pemangku presiden

Presiden Sri Lanka Ranil Wickremesinghe semasa satu sesi wawancara bersama The Associated Press di Colombo, Sri Lanka, pada 11 Jun 2022. (Gambar fail: Eranga Jayawardena/AP Photo)

COLOMBO: Perdana Menteri Sri Lanka Ranil Wickremesinghe dilantik sebagai pemangku presiden kerana penyandangnya, Gotabaya Rajapaksa, kini berada di luar negara. Demikian umum speaker parlimen pada  Rabu (13 Jul) sedang ribuan penunjuk perasaan menuntut agar kedua-dua pemimpin itu meletak jawatan.

"Kerana ketiadaannya di negara itu, Presiden Rajapaksa memberitahu saya bahawa beliau melantik perdana menteri untuk bertindak selaku presiden sejajar dengan perlembagaan negara," kata Mahinda Yapa Abeywardana ketika menyampaikan kenyataan ringkas di televisyen. 

Gotabaya Rajapaksa meninggalkan Sri Lanka pada Rabu, beberapa jam sebelum beliau dikatakan bakal meletak jawatan setelah bantahan orang ramai berhubung krisis ekonomi yang dahsyat sehingga menamatkan kuasa keluarga itu terhadap negara berkenaan. 

Encik Wickremesinghe mengisytiharkan keadaan darurat apabila beratus-ratus penunjuk perasaan mengepung pejabatnya di Colombo dalam usaha untuk mencerobohi pekarangan premis itu yang dikawal oleh polis, dengan memanjat pagar. 

Pihak polis melepaskan beberapa pusingan gas pemedih mata dan helikopter tentera pula berlegar-legar di udara. 

Ketika berita tentang presiden sudah melarikan diri tersebar, beribu-ribu orang berkumpul di tapak utama bantahan diadakan di Colombo sambil melaung-laungkan, "Gota penyamun, Gota penyamun", merujuk kepada presiden itu melalui nama samarannya. 

Ia sekali gus menamatkan pemerintahan puak berkuasa Rajapaksa yang mendominasi politik di negara Asia Selatan itu sejak dua dekad lalu.

Bantahan terhadap krisis ekonomi sudahpun berlarutan selama berbulan-bulan dan ia membara ke kemuncaknya pada hujung minggu lalu apabila ratusan ribu orang menyerbu masuk bangunan-bangunan utama pemerintah di Colombo sambil menyalahkan keluarga Rajapaksa dan sekutunya atas inflasi, rasuah serta kekurangan teruk bahan api dan perubatan yang dialami negara itu. 

Menurut sumber dan pegawai kanan pemerintah, saudara-saudara lelaki presiden, mantan perdana menteri Mahinda Rajapaksa dan mantan menteri kewangan Basil Rajapaksa, masih berada di Sri Lanka. 

Gotabaya Rajapaksa, isteri serta dua pengawal peribadinya sudahpun meninggalkan lapangan terbang antarabangsa utama berhampiran Colombo dengan menaiki sebuah pesawat Angkatan Tentera Udara Sri Lanka pada awal Rabu, menurut angkatan udara dalam kenyataannya.

Menurut sumber pemerintah dan seorang individu yang rapat dengan Encik Rajapaksa, beliau berada di Male, ibu kota Maldives. 

Presiden tersebut kemungkinan besar akan meneruskan perjalanan ke negara Asia lain dari sana, tambah sumber pemerintah itu lagi. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan