Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Rishi Sunak ikrar wajibkan Perkhidmatan Negara bagi remaja 18 tahun jika menang pilihan raya

Anggaran Waktu Membaca:
PM Rishi Sunak ikrar wajibkan Perkhidmatan Negara bagi remaja 18 tahun jika menang pilihan raya

Rishi Sunak dilihat di London pada 23 Oktober 2022. (Gambar: AFP/Daniel Leal)

Diterbitkan : 26 May 2024 04:52PM Dikemas Kini : 26 May 2024 04:54PM
LONDON: Remaja berusia 18 tahun akan diwajibkan menjalani Perkhidmatan Negara sekiranya Parti Konservatif (Tories) memenangi pilihan raya pada 4 Julai ini, kata Perdana Menteri Britain Rishi Sunak, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Perdana Menteri itu berkata Britain mempunyai "generasi muda yang tidak mendapat peluang yang mereka berhak dapatkan" sambil mendakwa bahawa langkah radikal ini akan membantu menyatukan masyarakat dalam "dunia yang semakin tidak menentu".
Pada masa akan datang, remaja berusia 18 tahun akan diberi pilihan antara penempatan sepenuh masa dalam angkatan tentera selama 12 bulan atau meluangkan satu hujung minggu setiap bulan selama setahun untuk melakukan kerja suka rela dalam masyarakat mereka, kata Parti Konservatif.

Menurut Parti Konservatif, kerja suka rela itu termasuk membantu dalam Perkhidmatan Kesihatan Nasional, khidmat bomba dan polis, selain bidang kebajikan seperti menangani kesunyian dan membantu golongan tua yang terasing.

Encik Sunak sedang berusaha untuk membezakan dirinya dengan Parti Buruh, khususnya mengenai keselamatan global setelah beliau berjanji untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada 2.5 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) menjelang 2030.

Encik Sunak juga berkata para pengundi akan dibiarkan "berisiko" dengan pemimpin Parti Buruh Keir Starmer di No. 10 kerana musuh Britain akan menyedari bahawa beliau "tidak mempunyai rancangan".

Remaja yang memilih untuk menyertai penempatan dalam angkatan tentera akan "belajar dan terlibat dalam logistik, keselamatan siber, perolehan atau operasi tindak balas awam", menurut Parti Konservatif.

Parti itu juga akan menubuhkan suruhanjaya diraja yang membawa masuk kepakaran daripada seluruh angkatan tentera dan masyarakat awam untuk merancang apa yang disebutkan sebagai program Perkhidmatan Negara yang "berani".

Parti Konservatif berkata ia akan berusaha ke arah pelaksanaan perintis pertama yang dibuka untuk permohonan pada September 2025, selepas itu ia akan memperkenalkan "Akta Perkhidmatan Negara" yang baharu untuk menjadikan langkah berkenaan diwajibkan menjelang akhir Parlimen yang seterusnya.

Perdana Menteri tersebut berkata: "Ini adalah negara yang hebat tetapi generasi muda tidak mendapat peluang atau pengalaman yang mereka berhak dapatkan dan ada kuasa yang cuba memecahbelahkan masyarakat kita dalam dunia yang semakin tidak menentu ini.

"Saya mempunyai rancangan yang jelas untuk menanganinya dan menjamin masa depan kita. Saya akan membawa model khidmat negara baharu untuk mewujudkan rasa terdapat tujuan bersama dalam kalangan orang muda dan rasa bangga yang baharu dalam negara kita.

"Perkhidmatan Negara wajib yang baharu ini akan memberikan peluang yang mengubah hidup orang muda kita, menawarkan mereka peluang untuk mempelajari kemahiran dunia sebenar, melakukan perkara baharu dan menyumbang kepada masyarakat dan negara kita."

Pada Sabtu, Encik Sunak turut membayangkan bahawa pemerintah yang dipimpin oleh Encik Starmer akan ditandai dengan ketidakpastian dan dunia yang "lebih berbahaya".

"Akibat ketidakpastian adalah jelas. Tiada rancangan bermakna dunia yang lebih berbahaya. Anda, keluarga anda dan negara kita semua berisiko jika Parti Buruh menang," dakwanya.

Parti Encik Starmer menyifatkan pengumuman itu sebagai "komitmen terdesak tanpa pembiayaan" dan menunjukkan bahawa Encik David Cameron memperkenalkan skim serupa - Khidmat Warga Nasional - ketika beliau menjadi perdana menteri.

Pengumuman Encik Cameron tidak mempunyai komponen angkatan tentera, sebaliknya menggalakkan golongan muda untuk mengambil bahagian dalam aktiviti seperti kursus pendidikan luar sebagai sebahagian daripada inisiatif "Masyarakat Besar" beliau.

Jurucakap Parti Buruh berkata: "Ini bukan rancangan - ini adalah kajian yang boleh menelan belanja berbilion-bilion dan hanya diperlukan kerana Parti Konservatif telah mengurangkan angkatan tentera kepada saiz terkecil sejak zaman Napoleon.

"Britain telah muak dengan Parti Konservatif, yang kehabisan idea dan tidak mempunyai rancangan untuk menamatkan 14 tahun kekacauan. Sudah tiba masanya untuk membuka lembaran baru dan membina semula Britain dengan Parti Buruh."
Sumber : AGENCIES/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan