PM Qatar tolak kebimbangan berhubung tawaran hadiah jet kepada Amerika

Presiden Donald Trump memberi tabik hormat semasa lagu kebangsaan Amerika berkumandang sedang Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Than berada di sisinya dalam majlis makan malam negara di Istana Lusail di Doha, Qatar pada 14 Mei, 2025. (Gambar: AP/Alex Brandon)
Encik Trump, yang ke Qatar dalam lawatannya ke Timur Tengah pada Rabu, menggemparkan warga Amerika sejak laporan media mendedahkan beliau sedang mempertimbangkan untuk menggunakan jet tersebut sebagai Air Force One - dan berkemungkinan terus menggunakannya selepas melepaskan jawatan itu.
Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al-Thani menolak kebimbangan tersebut, sambil memberitahu CNN dalam satu temu bual bahawa beliau tidak tahu mengapa berita itu diperbesarkan.
"Ia adalah transaksi dari pemerintah k pemerintah. Ia tidak ada kaitan dengan kakitangan, sama ada di pihak Amerika atau di pihak Qatar, ia adalah Kementerian Pertahanan dan Jabatan Pertahanan," katanya.
Beliau juga menolak tuduhan bahawa Qatar menggunakan hadiah itu sebagai cara untuk mempengaruhi Encik Trump, sambil berkata ia sebaliknya cuba membantu menyelesaikan masalah Amerika.
"Qatar sentiasa menjadi rakan yang boleh dipercayai bagi Amerika, sentiasa tampil untuk membantu dan menyokong Amerika, kerana kami percaya bahawa persahabatan ini perlu memberi manfaat kepada kedua-dua negara, tidak boleh menjadi hubungan sehala," kata Sheikh Mohammed.
Beliau menambah bahawa dalam apa jua keadaan, tawaran itu "masih di bawah semakan undang-undang".
Encik Trump telah berulang kali mengadu tentang kelewatan dan peningkatan kos dalam kontrak aeroangkasa Boeing untuk menyediakan dua jet Air Force One baharu bagi menggantikan model lama yang sedia ada.
Apabila disoal oleh media pada Isnin, Encik Trump dengan marah mempertahankan persetujuan dengan Qatar, sambil berkata beliau "bodoh" jika tidak menerima hadiah sedemikian.
Namun, rancangan itu menimbulkan persoalan besar mengenai etika, kerana Perlembagaan Amerika melarang pegawai pemerintah daripada menerima hadiah "daripada mana-mana Raja, Putera atau negara asing".
Ia juga telah menimbulkan kebimbangan keselamatan yang mendalam tentang penggunaan pesawat yang didermakan oleh kuasa asing untuk digunakan sebagai Air Force One yang dianggap sangat sensitif.
Jet itu direka bentuk untuk berfungsi sebagai markas bergerak bagi presiden sekiranya berlaku serangan terhadap Amerika.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.