PM Qatar gesa dunia 'hentikan tindakan pilih kasih' dan segera hukum Israel
Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani menggesa masyarakat antarabangsa pada Ahad (14 Sep) supaya "berhenti pilih kasih" dan menghukum Israel atas apa yang beliau sifatkan sebagai "perbuatan jenayahnya".
PM Qatar dan Menteri Ehwal Luar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al-Thani berucap kepada para utusan semasa mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB, menyusuli serangan Israel terhadap pemimpin Hamas di Doha, Qatar pada 11 Sept 2025. (Gambar: REUTERS/Eduardo Munoz)
Beliau berkata demikian di sebuah mesyuarat persiapan menjelang sidang puncak tergempar pemimpin Arab dan Islam anjuran Qatar selepas Israel melancarkan serangan udara yang belum pernah berlaku sebelum ini ke atas pemimpin Hamas di Doha.
"Sudah tiba masanya untuk masyarakat antarabangsa hentikan tindakan pilih kasih dan menghukum Israel atas semua perbuatan jenayah yang dilaksanakannya, dan Israel harus tahu bahawa perang penghapusan yang sedang berlaku terhadap saudara kita di Palestin, dan tujuannya untuk mengusirkan mereka dari tanah air mereka, tidak akan berjaya," katanya.
Menurut jurucakap Kementerian Ehwal Luar Qatar Majed al-Ansari, mesyuarat antara para pemimpin Arab dan Islam pada Isnin (15 Sep) akan menimbangkan "draf ketetapan mengenai serangan Israel ke atas negara Qatar".
Antara pemimpin yang akan menghadiri mesyuarat tergempar itu adalah Presiden Iran Masoud Pezeshkian dan Perdana Menteri Iraq Mohammed Shia al-Sudani.
Presiden Palestin Mahmud Abbas tiba di Doha pada Ahad, sehari sebelum sidang puncak itu diadakan.
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan juga dijangka menghadiri mesyuarat itu, lapor media Turki.
Belum diketahui sama ada Putera Mahkota Putera Mohammed bin Salman, iaitu pemimpin de facto Arab Saudi akan menghadiri sidang pucncak itu, walaupun beliau mengunjungi Qatar pada awal minggu lalu sebagai tanda perpaduan dengan negara tersebut.
Qatar yang menempatkan pangkalan tentera udara terbesar Amerika Syarikat di rantau itu, memainkan peranan penting sebagai pengantara dalam perang Israel dengan Hamas, di samping Amerika Syarikat dan Mesir.
Anggota politburo Hamas, Bassem Naimi berkata gerakan militan itu, di mana serangan terhadap Israel pada Oktober 2023 mencetuskan perang Gaza, berharap sidang puncak itu akan menghasilkan "pendirian Arab-Islam yang tegas dan bersatu" dan "langkah-langkah jelas dan terperinci" mengenai Israel dan perang itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.