Skip to main content

Dunia

PM Prayut bimbang akan lonjakan kes COVID-19 selepas cuti panjang Tahun Baru Thailand

Kawasan-kawasan yang popular dalam kalangan pelancong di Thailand mengambil langkah berjaga-jaga menyusuli lonjakan jangkitan COVID-19 selepas cuti tahun baru.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Prayut bimbang akan lonjakan kes COVID-19 selepas cuti panjang Tahun Baru Thailand

Orang ramai meraikan hari pertama Songkran, atau Tahun Baru Thailand, di Khao San Road di Bangkok pada 13 April 2023. (Gambar: Lillian Suwanrumpha/AFP)

BANGKOK: Kawasan-kawasan yang popular dalam kalangan pelancong di Thailand mengambil langkah berjaga-jaga menyusuli lonjakan jangkitan COVID-19 selepas cuti tahun baru.

Negara itu melaporkan lebih 1,000 kes jangkitan minggu ini.

Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha, yang meluahkan kebimbangan berhubung lonjakan kes COVID-19 itu, mengeluarkan arahan untuk memantau rapi destinasi-destinasi popular, seperti Bangkok dan Phuket.

"Perdana Menteri memantau keadaan pandemik COVID-19 dan mengarahkan Kementerian Kesihatan Awam untuk terus menilai keadaan serta memantau rapi penularan subvarian XBB.1.16, kata pemangku jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri, pada Rabu (26 Apr).

Encik Anucha berkata penularan COVID-19 berleluasa di bandar-bandar besar dengan jumlah penduduk yang tinggi seperti Bangkok, Phuket, Chiang Mai dan Chonburi. Beliau menambah kebanyakan kes merupakan jangkitan dalam kalangan keluarga dan menerusi acara perhimpunan besar.

Menurut pegawai kesihatan, lonjakan kes COVID-19 itu disebabkan oleh varian Omicron. Namun, mereka menekankan tiada bukti ia menyebabkan gejala lebih teruk

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan menyeru warga emas dan golongan yang mudah terjejas supaya segera mendapatkan suntikan dos penggalak.

Ia juga menyarankan agar semua orang mendapatkan dos penggalak COVID-19 setahun sekali.

Kementerian itu menjangkakan jumlah kes jangkitan terus meningkat sepanjang musim hujan yang bermula minggu depan.
Sumber : CNA/AY/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita