PM Palestin Mohammad Mustafa bentuk Kabinet, gesa gencatan senjata segera di Gaza
Kabinet PM Mustafa termasuk lapan menteri dari Gaza, merangkumi juga seorang Menteri Negara untuk "hal ehwal bantuan".
Pakar ekonomi Mohammed Mustafa (kanan) dilantik PM baharu Palestin. (Gambar: PPO / AFP)
RAMALLAH: Perdana Menteri Palestin, Mohammad Mustafa membentuk Kabinet baharu pada Khamis (28 Mac) di mana beliau juga akan berkhidmat sebagai Menteri Luar.
Beliau juga mahu menjadikan gencatan senjata serta-merta dan pengunduran Israel dari Gaza sebagai keutamaannya, lapor agensi berita Palestin WAFA.
Encik Mustafa, sekutu Presiden Mahmoud Abbas dan tokoh perniagaan terkemuka, dilantik sebagai Perdana Menteri bulan ini dengan mandat untuk membantu mereformasi Penguasa Palestin (PA), yang menjalankan pemerintahan sendiri yang terhad di Tebing Barat yang diduduki Israel.
Beliau juga ditugaskan untuk mengetuai bantuan dan pembinaan semula Gaza, yang telah hancur akibat perang lebih lima bulan, selain menjalankan tugas dua kali sebagai Menteri Luar, menggantikan Riyad al-Maliki yang telah berkhidmat dalam jawatan itu sejak 2009.
Presiden Abbas kekal sebagai tokoh paling berkuasa dalam PA, melantik pemerintah baharu sebagai menunjukkan kesediaan untuk memenuhi tuntutan antarabangsa bagi perubahan dalam pentadbiran.
Beliau meluluskan Kabinet PM Mustafa dengan pakar kewangan Omar al- Bitar sebagai Menteri Kewangan, dan Muhamad al Amour, yang berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Peniaga Palestin, sebagai Menteri Ekonomi, tetapi mengekalkan Ziad Hab al-Reeh, mantan Ketua Agensi Perisikan Dalaman, sebagai Menteri Dalam Negeri, kata WAFA.
Kabinet baharu, yang juga termasuk lapan menteri dari Gaza turut merangkumi seorang Menteri Negara untuk "hal ehwal bantuan".
Dalam satu kenyataan Kabinet yang ditujukan kepada Presiden Abbas, Encik Mustafa berkata, keutamaan negara ialah gencatan senjata segera di Gaza dan pengunduran sepenuhnya Israel dari wilayah itu, selain membenarkan bantuan kemanusiaan masuk dalam jumlah yang banyak dan sampai ke semua kawasan, lapor WAFA.
"Untuk membolehkan pelancaran proses pemulihan dan persediaan untuk pembinaan semula, hentikan aktiviti pencerobohan dan penempatan, dan membendung keganasan di Tebing Barat," tambahnya.
PA, yang dikawal oleh puak politik Fatah Encik Abbas, telah lama mempunyai hubungan yang tegang dengan Hamas, gerakan Islam yang mengendalikan Gaza.
Kedua-dua puak itu berperang buat seketika sebelum Fatah diusir dari wilayah itu pada 2007.
Bagaimanapun, ia telah berulang kali mengutuk pencerobohan Israel ke atas Carikan Gaza berikutan serangan yang diketuai Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober, dan menegaskan ia mesti memainkan peranan dalam mengendalikan Gaza selepas perang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.