PM New Zealand Jacinda Ardern bayarkan barang dapur wanita yang tertinggal dompetnya
Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern mengesahkan pada Khamis (4 Apr) beliau membayarkan barang-barang dapur pembelian seorang ibu

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern. (Gambar: Edgar Su/Reuters)
WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern mengesahkan pada Khamis (4 Apr) beliau membayarkan barang-barang dapur pembelian seorang ibu yang sedang dalam keadaan gelisah. Langkah baik budi Cik Ardern itu pastinya meningkatkan lagi reputasi beliau sejak responsnya terhadap serangan masjid di Christchurch.
Cik Ardern mulanya keberatan untuk membincangkan insiden itu yang didedahkan di media sosial. Dalam kejadian itu, seorang ibu dua orang anak yang mendahului Cik Ardern dalam barisan di kaunter pembayaran sebuah pasar raya menyedari bahawa beg duit beliau tidak ada bersamanya.
Semasa mengakhiri satu pertemuan dengan pihak media pada Khamis (4 Apr), Cik Ardern, yang ditanya mengapa beliau membantu wanita berkenaan hanya ringkas menjawab, "kerana beliau seorang ibu."
Cik Ardern, 38 tahun, sendiri ialah ibu kepada seorang cahaya mata perempuan, Neve, dilahirkan pada Jun tahun lalu. Beliau menjadi perdana menteri kedua di dunia untuk melahirkan anak ketika sedang berkhidmat. Cik Ardern kemudian membawa bayinya bersama-sama beliau ke Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Berikutan kejadian serangan pengganas di dua buah masjid di Christchurch yang mengorbankan 50 orang Muslim pada 15 Mac lalu, Cik Ardern dihujani dengan pujian bagi responsnya terhadap kekejaman yang menggoncangkan negara yang dikenali kerana keamanannya.
The New Zealand Herald menyifatkan tindakannya sebagai gabungan antara "ketenangan dan ketegasan" setelah beliau memakai hijab ketika mendampingi keluarga-keluarga para mangsa dan dengan pantas memperketat undang-undang senjata.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.