Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM New Zealand arahkan siasatan bebas serangan pengganasan Christchurch

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern hari ini (25 Mac) mengarahkan satu siasatan kehakiman bebas ke atas serangan dua masjid di Christchurch yang akan meneliti sama ada polis dan khidmat risikan dapat mencegah serangan pada 15 Mac itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Mar 2019 03:05PM Dikemas Kini : 26 Mar 2019 12:17AM

WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern hari ini (25 Mac) mengarahkan satu siasatan kehakiman bebas ke atas serangan dua masjid di Christchurch yang akan meneliti sama ada polis dan khidmat risikan dapat mencegah serangan pada 15 Mac itu.

Cik Ardern berkata sebuah suruhanjaya diraja, yang merupakan siasatan kehakiman paling berkuasa di bawah undang-undang New Zealand, diperlukan bagi mengetahui bagaimana seorang lelaki bersenjata boleh membunuh seramai 50 orang dalam serangan yang mengejutkan seluruh dunia.

"Penting untuk kita melakukan segala yang termampu untuk mengetahui bagaimana tindakan pengganasan ini berlaku dan bagaimana kita dapat mencegahnya," kata Cik Ardern kepada para wartawan.

Agensi-agensi risikan New Zealand menghadapi tekanan menyusuli serangan tersebut kerana memberi tumpuan kepada ancaman pelampau atas nama Islam.

Sebaliknya, para mangsa serangan kesemuanya Muslim dan pembunuhan beramai-ramai itu dilakukan oleh seorang lelaki dipercayai pelampau haluan kanan kulit putih, yang meyakini bahawa orang Muslim sedang "menakluki" negara-negara Barat.

"Satu pertanyaan yang kita perlu jawab adalah sama ada kita boleh atau sepatutnya mengetahui lebih banyak maklumat," kata Cik Ardern.

"New Zealand bukan sebuah negara berpengawasan... namun ada persoalan yang perlu dijawab."

Cik Ardern menolak langkah memperkenalkan semula hukuman mati bagi suspek pengganas, Brenton Tarrant, 28 tahun, yang diberkas beberapa minit selepas dia melancarkan serangan di dua masjid dan kemudian didakwa atas tuduhan membunuh.

Cik Ardern berkata lebih banyak maklumat mengenai suruhanjaya diraja itu sedang dimuktamadkan namun laporannya adalah menyeluruh dan akan dikeluarkan tepat pada masanya.  

Sumber : AFP/Reuters/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan