Skip to main content

Dunia

PM Nepal KP Sharma Oli letak jawatan lepas bantahan anti-rasuah

Anggaran Waktu Membaca:
PM Nepal KP Sharma Oli letak jawatan lepas bantahan anti-rasuah

Tunjuk perasaan di Nepal. (Gambar fail: Reuters)

KATHMANDU: Perdana Menteri Nepal KP Sharma Oli pada Selasa (9 Sep) meletak jawatan berikutan bantahan anti-rasuah di negara itu.

Bantahan terhadap larangan media sosial di Nepal bertukar ganas pada Isnin (8 Sep) selepas sekurang-kurangnya 19 orang maut semasa pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan.

Encik Oli, 73 tahun, tulis dalam satu surat bahawa beliau "sangat berduka cita" atas kematian yang berlaku berikutan tunjuk perasaan itu.

"Saya letak jawatan daripada jawatan perdana menteri berkuat kuasa hari ini... demi meneruskan langkah selanjutnya ke arah huraian politik dan penyelesaian masalah," kata Encik Oli dalam surat kepada Presiden Nepal Ram Chandra Poudel.

Tujuh belas orang terbunuh di Kathmandu, menurut polis, dan dua lagi di daerah timur Sunsari, menurut media tempatan.

Jurucakap polis Kathmandu, Shekhar Khanal berkata, kira-kira 400 orang cedera, termasuk lebih 100 anggota polis.

Larangan itu, yang melibatkan sekatan terhadap beberapa laman media sosial termasuk Facebook, YouTube dan X, ditarik balik pada Selasa.

“Pemerintah tidak menyokong langkah menyekat penggunaan media sosial dan akan memastikan persekitaran untuk penggunaannya,” tulis Encik Oli selepas mesyuarat tergempar Kabinet di mana menteri dalam negeri meletak jawatan.

Beliau juga berkata "jawatankuasa siasatan akan dibentuk untuk menyiasat dan menganalisis" bantahan itu.

Pergolakan itu adalah yang paling teruk dalam beberapa dekad di negara Himalaya itu yang terletak antara India dan China. Ia juga bergelut dengan keadaan politik tidak stabil dan ekonomi tidak menentu sejak sistem diraja negara itu dimansuhkan pada 2008.

Ketibaan pesawat dari sebelah selatan di lapangan terbang Kathmandu, yang merupakan pintu masuk antarabangsa utama Nepal, ditutup kerana jarak penglihatan yang kurang baik akibat asap dari kebakaran yang dicetuskan oleh penunjuk perasaan di kawasan berhampiran, kata pegawai penguasa penerbangan Gyanendra Bhul.

Salah seorang penunjuk perasaan memberitahu Reuters melalui telefon, bahawa beratus-ratus orang dari beberapa bandar yang terletak berhampiran sempadan India-Nepal berarak ke arah Kathmandu untuk menyokong bantahan tersebut.

Penganjur bantahan berkenaan, yang sudah merebak ke bandar lain di negara Himalaya itu, menyifatkannya sebagai "tunjuk perasaan golongan Gen Z", yang dipengaruhi oleh rasa sangat kecewa dalam kalangan golongan muda terhadap tindakan pemerintah yang dianggap tidak memadai untuk menangani rasuah dan menambah peluang ekonomi.

Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita