Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Muhyiddin ikrar kerajaan akan pastikan nahas LRT KL tidak berulang

Kerajaan Malaysia bertanggungjawab memastikan insiden kemalangan tren melibatkan penumpang perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Isnin lalu (24 Mei) tidak akan berulang pada masa akan datang, menurut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Muhyiddin ikrar kerajaan akan pastikan nahas LRT KL tidak berulang

Bahagian depan LRT yang rosak selepas bertembung dengan sebuah lagi kereta api. (Gambar: Twitter/Bernama/Prasarana Malaysia Berhad)

Diterbitkan : 28 May 2021 09:47AM Dikemas Kini : 28 May 2021 10:00AM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia bertanggungjawab memastikan insiden kemalangan tren melibatkan penumpang perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Isnin lalu (24 Mei) tidak akan berulang pada masa akan datang, menurut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Bercakap kepada Bernama, PM Muhyiddin berkata kerajaan memandang serius terhadap insiden dua tren LRT terbabit dalam kejadian berkenaan dan akan memastikan nahas tersebut disiasat dengan teliti bagi mencari punca kejadian itu.

"Isu pelanggaran ini sudahpun sampai ke peringkat jawatankuasa khas yang telah dibentuk agar dapat disiasat sebab musabab bagaimana ia boleh berlaku.

"Sudah lebih 20 tahun, belum pernah ada LRT berlanggar sesama sendiri, tetapi kerana kemalangan sudah berlaku, kita rasa sedih dan kita mahu ia disiasat, dan nanti dalam tempoh tidak berapa lama kita akan dapat tahu apakah sebab musabab," katanya selepas melawat mangsa kemalangan itu dan keluarga mereka di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dalam kejadian pada 8.45 malam itu, sebanyak 47 penumpang dilaporkan cedera parah, manakala 166 mengalami kecederaan ringan, apabila sebuah tren membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji, bertembung di dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

Pada masa yang sama, Encik Muhyiddin berkata beliau telah mengarahkan Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong untuk memulihkan segera perkhidmatan LRT khususnya di kawasan kemalangan dan memastikan perkhidmatan itu sentiasa dijamin selamat.

"Kalau sudah selesai semuanya dan tiada lagi apa-apa bahaya, beliau (Wee) kata selepas beberapa hari ini, ia (perkhidmatan LRT) akan segera beroperasi balik," katanya yang meminta orang ramai agar bersabar sekiranya berlaku kesulitan untuk menggunakan perkhidmatan LRT ketika ini, ekoran kemalangan tersebut.

Dalam pada itu, PM Muhyiddin berkata seramai tiga mangsa sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala dua menerima rawatan di wad biasa.

Katanya, laporan doktor menunjukkan keadaan kesemua mangsa adalah stabil, di mana mereka yang berada di wad biasa akan dibenarkan pulang tidak berapa lama lagi.

"Mereka yang berada di ICU itu akan mengambil sedikit masa untuk pulih dan discaj. Saya mendoakan kesemua mereka akan cepat pulih dan balik ke pangkuan keluarga serta dapat teruskan tugas dan tanggungjawab kerja dan sebagainya," katanya.

Awal dari itu, beliau menziarahi mangsa sebelum bertemu dengan ahli keluarga kepada dua mangsa yang berada di ICU dan mendengar penerangan dari Pengarah HKL Dr Heric Corray dan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Sementara itu, dalam pertemuan kira-kira enam minit dengan ahli keluarga mangsa, PM Muhyiddin melahirkan rasa sebak dengan kejadian terbabit dan memberi kata-kata perangsang untuk mereka.

"Doktor sentiasa ada dan akan take care for 24-hour... (menjaga sepanjang masa) doa banyak-banyak, semoga cepat sembuh dan kembali sihat macam dulu," katanya.

Dalam pada itu, PM Muhyiddin dalam hantaran akaun rasmi Facebook beliau berkata keutamaan kerajaan adalah untuk memastikan kesihatan dan kebajikan mangsa-mangsa terjamin dan terbela, selain siasatan penuh dijalankan secepat mungkin.

“Alhamdulillah, kedua-dua perkara ini sudah dilakukan dan sedang berjalan.

“Di pihak kerajaan, saya akan pastikan siasatan sepenuhnya dapat dilaksanakan dan langkah penambahbaikan dapat dibuat bagi menjamin insiden seperti ini tidak berulang,” katanya bagi mengulas mengenai lawatan beliau ke HKL itu. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan