Skip to main content

Dunia

PM M'sia Ismail Sabri masih berbelah untuk adakan PRU15

Anggaran Waktu Membaca:
PM M'sia Ismail Sabri masih berbelah untuk adakan PRU15

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 23 Aug 2022 07:34PM Dikemas Kini : 23 Aug 2022 09:14PM
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob berkata beliau masih berbelah bagi untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara dengan beberapa media luar negara termasuk CNA pada Isnin (22 Ogos).

Sidang media diadakan itu adalah sempena ulang tahun pertama beliau sebagai PM Malaysia.

Encik Ismail Sabri menjelaskan jika PRU15 diadakan lebih awal, beliau akan berdepan dengan skandal penyelewengan melibatkan projek Kapal Tempur Litoral atau LCS.

Namun jika ditangguhkan, Malaysia mungkin berdepan dengan sekitaran ekonomi sejagat yang sukar terutama sekali cabaran inflasi, tambah beliau.

'LIMA TAHUN, 3 PM' & DESAKAN UMNO

Encik Ismail Sabri mengaku Malaysia tidak stabil dari sudut politik sejak PRU14 pada 2018.

"Kita satu penggal lima tahun, tiga Perdana Menteri. Saya rasa ini bukan sesuatu boleh dibanggakan. Ini menunjukkan dunia politik kami tidak stabil," ujar beliau.

Komen beliau itu dibuat sedang hampir 160 Ketua Bahagian UMNO dari merata negara turut mengadakan mesyuarat tergempar pada hari yang sama.

Mereka mendesak agar PRU15 diadakan secepat mungkin.

Pertemuan itu dihadiri Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.

Encik Ismail Sabri bagaimanapun berkata beliau lebih tertumpu dengan tugasan yang ada.

Menurutnya: "Parti boleh beri pandangan tetapi kerja saya akan tetap diteruskan. Jadi apa pun yang berlaku di luar sana tidak mengganggu konsentrasi saya untuk bekerja terus untuk negara kerana saya ada tugas lain di sini iaitu menangani seluruh rakyat dan negara."

HUBUNGAN 2 HALA BERSAMA S'PURA

Menyentuh hubungan dua hala dengan Singapura, Encik Ismail Sabri berkata beliau mengalu-alukan mesyuarat dengan rakan sejawat Perdana Menteri Lee Hsien Loong di retreat pemimpin seterusnya yang dijadualkan pada Oktober ini.

Beliau juga berharap dapat mempercepat perbincangan dalam menghidupkan semula projek kereta api laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

"Buat masa ini, Menteri Pengangkutan kami sedang berbincang dengan Menteri Pengangkutang Singapura. Sedang berbincang. Kita kalau boleh hendak lebih cepat sebab dalam masa yang sama, Malaysia juga bercadang untuk merujukkan HSR antara KL dan Bangkok.

"Kalau boleh kami hendak hubungkan Bangkok-KL dan Singapura kerana pada masa depan ia boleh disambungkan ke China," kongsi PM Malaysia itu.
Sumber : Agensi berita/RU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita