Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM M'sia ingatkan para majikan ambil serius pelaksanaan gaji minimum

Anggaran Waktu Membaca:
PM M'sia ingatkan para majikan ambil serius pelaksanaan gaji minimum

(Gambar: Facebook/Ismail Sabri Yaakob)

Diterbitkan : 25 Jul 2022 06:49PM Dikemas Kini : 25 Jul 2022 06:50PM
KUALA LUMPUR: Ismail Sabri Yaakob mengingatkan majikan bahawa gaji minimum kini ditetapkan pada kadar RM1,500 (S$ 466.77) berkuatkuasa sejak 1 Mei.

Bagaimanapun, Perdana Menteri itu berkata sehingga Julai ini, berdasarkan statistik MYFutureJobs, lingkungan gaji bagi kekosongan jawatan yang paling banyak ditawarkan di seluruh negara adalah antara RM1,200 (S$373.43) hingga RM2,000 9 (S$625.38)sebulan.

“Kerajaan kini giat membangunkan ‘talent pool’ (kumpulan bakat) yang berkemahiran, produktif dan berpotensi tinggi, namun saya sedikit kecewa kerana gaji ditawar majikan tidak setimpal dan berpadanan dengan kelayakan dan kerja dilakukan anak-anak tempatan.

“Sehubungan itu, saya meminta supaya pihak majikan mengambil serius mengenai perkara ini, kerana pekerja merupakan tunjang utama dalam mana-mana organisasi; di mana mereka boleh ‘make or break’ sesuatu perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Kuala Lumpur pada Isnin (25 Jul).

Turut hadir Menteri Sumber Manusia M Saravanan, Menteri Pengajian Tinggi Dr Noraini Ahmad dan Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Dr Mohammed Azman Aziz.

Mengulas lanjut Encik Ismail Sabri menggesa Kementerian Sumber Manusia berunding dengan pihak majikan dan wakil-wakil pekerja, bagi mengenal pasti pendekatan dan solusi terbaik kepada masalah ini.

Malah, katanya platform perikatan tiga pihak Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan juga boleh dimanfaatkan untuk melaksanakan rundingan tiga penjuru, bagi mencapai kata sepakat demi kesejahteraan semua Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri berkata kerajaan amat prihatin dengan keluhan Keluarga Malaysia dan sentiasa mencari kaedah terbaik, bagi menyelesaikan masalah dihadapi mereka termasuk berkaitan pengangguran dan kehilangan pekerjaan.

Jelasnya bagi memastikan perkara ini dapat ditangani dengan berkesan, pelbagai inisiatif berkonsepkan ‘jamin kerja’ sudah dilaksanakan untuk membantu mereka yang benar-benar terkesan dan memerlukan.

“Dalam usaha merapatkan jurang penawaran dengan permintaan pekerjaan oleh majikan dan pekerja, sebuah 'Profiling Kebangsaan' perlu dibangunkan, dengan mempergiat usaha pelaksanaan program seru temu (outreach) pemprofilan pencari kerja di seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, sejak negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik 1 April lepas, ekonomi negara beransur pulih dan kadar pengangguran menurun pada kadar 3.9 peratus pada April lalu, dengan bilangan penduduk bekerja direkodkan seramai 15.85 juta orang.

“Perkembangan ini merupakan hasil pelaksanaan inisiatif Kerajaan menerusi kerjasama merentasi kementerian-kementerian, agensi-agensi pelaksana dan industri, sekali gus berhasil membantu menempatkan lebih 558,000 pekerja pada tahun lalu,” katanya.

Selain ekspo Jamin Kerja yang kini sedang berlangsung, beliau berkata di bawah program JaminKerja – Insentif Penggajian (JKIP) dan perkhidmatan pekerjaan MYFutureJobs, kira-kira 113,672 ahli Keluarga Malaysia sudah dibantu.

Encik Ismail Sabri berkata kerajaan juga turut melanjutkan tempoh program JKIP yang berakhir 30 Jun lalu kepada 31 Dis ini, dengan tumpuan kepada pengambilan pekerja dalam kategori mudah terjejas seperti golongan Orang Kurang Upaya (OKU), wanita, individu yang hilang pekerjaan, pekerja dalam sektor pelancongan dan bekas banduan.

Beliau turut menyentuh kepentingan penglibatan generasi muda, selain golongan OKU yang kedua-duanya diberi perhatian kerajaan dengan pelbagai insiatif disediakan dalam menyediakan peluang pekerjaan lebih baik kepada mereka.

Menurutnya, sehingga kini seramai 36,281 OKU berjaya mendapat penempatan pekerjaan menerusi program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh PERKESO.

“Saya juga berharap program pemerkasaan ekonomi bertujuan menarik penyertaan golongan OKU dalam dunia keusahawanan wajar dipergiat, seiring Aspirasi Keluarga Malaysia,” katanya.

Ekspo mega berkenaan bermula Sabtu lalu (23 Jul) sehingga Rabu ini (27 Jul) melibatkan penyertaan 1,000 majikan pelbagai sektor yang menyediakan lebih 30,000 pekerjaan.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan