Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM M'sia beri jaminan masyarakat India tidak akan dipinggirkan dalam arus pembangunan

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad (18 Sep) memberi jaminan komuniti India di Malaysia tidak akan dipinggirkan dalam arus pembangunan.

Mengambil semangat Keluarga Malaysia “no one will be left behind” (tiada siapa akan ketinggalan), Encik Ismail Sabri berkata kerajaan meluluskan berbagai peruntukan dan inisiatif bagi masyarakat India khusus untuk membasmi kemiskinan, pembangunan sosial, sosioekonomi dan kesejahteraan kaum itu.

"Antaranya RM100 juta (S$30 juta) di bawah MITRA (Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia) bagi membasmi kemiskinan dan pembangunan sosial masyarakat India di bawah Kementerian Perpaduan. Sebanyak RM25 juta (S$7 juta) bagi program pembangunan usahawan masyarakat India.

Ini antara inisiatif kerajaan untuk Keluarga Malaysia daripada masyarakat India. Sebagai tambahan terhadap usaha sedia ada mesyuarat Kabinet juga meluluskan untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (JKMPSI) yang dipengerusikan oleh saya sendiri," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Briged MIC Kebangsaan dan Pameran Pencegahan Jenayah di Kuala Lumpur pada Ahad (18 Sep).

Turut hadir Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan dan Presiden MIC, SA Vigneswaran.

Perdana Menteri berkata penubuhan jawatankuasa itu membuktikan Keluarga Malaysia daripada masyarakat India amat penting dalam pentadbirannya.

Beliau berkata ketika ini MIC sedang membuat libat urus dengan semua pihak berkepentingan sebelum semua cadangan daripada masyarakat India dibawa dalam mesyuarat JKMPSI dalam masa terdekat.

Selain itu, Ismail Sabri berkata kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia melaksanakan pelbagai latihan peningkatan kemahiran dan pemahiran semula, ekonomi gig serta program-program lain yang memberi manfaat kepada golongan belia India disamping kerajaan turut memperuntukkan RM50 juta (S$15 juta) untuk membantu usahawan dan peniaga kecil kaum India.

"Untuk AIMS (Program Mobiliti Antarabangsa Asia untuk Pelajar), sebanyak RM25 juta (S$7 juta) telah diperuntukkan untuk membantu pelajar-pelajar universiti daripada golongan B40. Perkara ini tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.

Walaupun ketika COVID-19 melanda negara tetapi peruntukan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) tetap diberikan kepada SJKT seluruh negara dengan jumlah RM39 juta (S$12 juta). Itu sewaktu COVID-19 dan saya yakin apabila keadaan pulih seperti biasa kita akan berikan peruntukan seperti yang kerajaan berikan sebelum COVID-19 melanda negara," katanya.

Dalam pada itu, Encik Ismail Sabri meluluskan peruntukan RM2 juta (S$619,177) untuk pelajar-pelajar kaum India daripada golongan miskin tegar selain beliau bersetuju dengan cadangan Encik Vigneswaran untuk meletakkan MITRA kembali di bawah Jabatan Perdana Menteri dan penubuhan Yayasan MITRA.

Mengulas mengenai Briged MIC, Perdana Menteri yakin pelancaran Briged MIC Kebangsaan itu mampu menjadi tonik tambahan kepada kemenangan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata Briged MIC yang terdiri daripada Wanita dan Pemuda MIC perlu sentiasa bergerak proaktif di setiap kawasan agar dapat menambah bilangan pengundi daripada komuniti India seterusnya memberi kemenangan besar kepada BN.

"Perkara ini membolehkan Briged MIC untuk menjadi satu platform yang bersifat universal dan mendekatkan diri dengan kumpulan sasaran. Langkah pemimpin MIC menubuhkan Briged MIC sejajar dengan tuntutan perkembangan politik semasa terutamanya dengan pelaksanaan Undi 18," katanya.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan