Skip to main content

Dunia

PM M'sia beri jaminan lindungi aset negara susuli tuntutan kumpulan Sulu

Anggaran Waktu Membaca:

PUTRAJAYA: Berikutan isu tuntutan kumpulan Sulu, Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa kerajaan akan melindungi aset negara dengan menggunakan saluran perundangan sedia ada.

"Kita lindungi aset dari segi perundangan. Mereka (kumpulan Sulu) bawa kes ke mahkamah jadi kita akan melindungi semua aset secara perundangan.

"Saya beri jaminan tidak akan bertolak ansur dan berganjak walau seinci pun dalam mempertahankan hak dan kedaulatan negara," katanya kepada pemberita pada Selasa (19 Jul). 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu kumpulan Sulu yang mengganggu-gugat kepentingan aset-aset Malaysia di luar negara, khususnya aset di bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pada 12 Julai, dilaporkan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dirampas oleh kumpulan Sulu, yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (S$20.8 bilion) daripada Malaysia.

Langkah itu yang pertama kali dilaporkan adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dikemukakan pada 2017 oleh kumpulan Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Encik Ismail Sabri berkata, beliau difahamkan Petronas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan memberi penjelasan di Parlimen dalam masa terdekat mengenai rampasan aset Petronas di Azerbaijan itu.

Beliau berkata Jemaah Menteri pada 14 Julai lalu telah bersetuju menubuhkan pasukan khas untuk meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaskan undang-undang sewajarnya bagi menangani isu tuntutan kumpulan Sulu terhadap kerajaan Malaysia.

"Pasukan khas telah ditubuhkan untuk melihat masalah ini secara menyeluruh bukan setakat aset Petronas tetapi aset-aset negara yang lain di luar negara. Ada banyak lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mempunyai aset di luar negara dan ini akan dilihat secara keseluruhan," katanya.

Ditanya keperluan kerajaan menggerakkan sistem keselamatan untuk mempertahankan aset di luar negara, Encik Ismail Sabri berkata: "Bukan senang bawa sekuriti ke negara lain kecuali Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)."

Pada Mac lalu, penimbang tara di Perancis memutuskan bahawa Malaysia yang mewarisi tanggungjawab perjanjian pajakan apabila memperoleh kemerdekaan daripada Britain, mesti membayar waris berkenaan sebanyak AS$14.92 bilion (S$20.8 bilion). 

Namun Encik Wan Junaidi ketika itu dilaporkan berkata keputusan Mahkamah Arbitrasi Paris untuk Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion (S$20.8 bilion) kepada pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu adalah tidak sah, kerana tidak berlandaskan undang-undang.

Katanya, keputusan yang ditetapkan penimbang tara Dr Gondoza Stampa itu sudah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang.

Pada 12 Julai lalu, Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitrasi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

Dalam kenyataan Encik Wan Junaidi pada 13 Julai lepas, beliau berkata kesan daripada perintah penggantungan itu, Final Award yang diputuskan Dr Stampa tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara, sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris dengan permohonan pembatalan Final Award yang dibuat kerajaan Malaysia.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita