Skip to main content

Dunia

PM M'sia Anwar tetapkan subsidi bersasar bagi kumpulan bergaji rendah, beri majlis tindakan 2 minggu untuk kaji

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim memberi tempoh dua minggu kepada ahli Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 untuk menganalisis kesan subsidi bersasar berbanding dasar subsidi menyeluruh pada masa ini.

Encik Anwar berkata semua kementerian dan agensi berkaitan sudahpun ditugaskan untuk mengumpul maklumat yang akan dibentangkan kepada kabinet barunya selepas ia dibentuk kelak.

"Saya tidak ada masalah dengan subsidi bagi rakyat, terutama rakyat yang susah. Tetapi dalam perbincangan kita, subsidi ini harus bersasar.

"Jika tidak, seperti harga minyak umpamanya, subsidi itu dimanfaatkan oleh rakyat dan golongan kaya.

“Jadi saya berikan mereka tempoh dua minggu untuk menyelidik, menelusuri seluruh implikasi dan bincang dengan sektor swasta, pelabur supaya mereka faham subsidi tujuannya itu untuk meringankan beban rakyat yang miskini.

“Tentunya golongan yang kaya dan industri tidak harus mengambil manfaat,” Malaysiakini memetik kata-kata Encik Anwar sewaktu sidang media di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

“Jadi saya beri masa dua minggu untuk menganalisis, meneliti semua implikasi dan berbincang dengan pihak swasta, pelabur supaya mereka faham sebab subsidi adalah untuk meringankan beban rakyat miskin,” kata Encik Anwar.

Pada masa yang sama, Encik Anwar membayangkan akan ada insentif lain yang diperkenalkan untuk perniagaan dan industri sebagai tukaran untuk sebarang penghapusan subsidi.

Terdahulu, Encik Anwar mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 dan melahirkan rasa bangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh semua penjawat awam yang terlibat.

Beliau berkata walaupun diadakan pada hari Ahad, mesyuarat itu perlu dibuat untuk lebih memahami isu-isu berkaitan kos sara hidup yang menjadi keutamaan pentadbirannya.

Antara pegawai tinggi kerajaan yang hadir ialah Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, Gabenor Bank Negara Malaysia Nor Shamsiah Mohd Yunus, para pegawai kanan Jabatan Perangkaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.
Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita