Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM M'sia Anwar terima teguran, beri penjelasan berhubung pelantikan Nurul Izzah

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berkata beliau terbuka menerima setiap teguran, dan akan memberikan penjelasan berhubung pelantikan Nurul Izzah selaku Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepadanya.

Menegaskan sekali lagi bahawa pelantikan itu dibuat tanpa sebarang bayaran, Encik Anwar berkata beliau mahu Cik Nurul Izzah memainkan peranan membantu kerajaan, antara lain dalam memastikan ketelusan pentadbiran serta urusan perolehan tender kerajaan, berlaku secara teratur dan mengikut prosedur.

"Saya terima baik teguran. Saya jelaskan, itu berbeda dengan pengalaman yang lalu yang biasanya semua lantikan akan melibatkan soal upah dan ganjaran."

"Dia (Nurul Izzah) datang untuk bantu. Itu sahaja, bukan untuk ambil projek," katanya kepada para wartawan selepas Majlis Anugerah Sukan Negara 2021 pada Selasa (31 Jan).
Perdana Menteri Malaysia itu turut mempersoalkan pihak yang mengkritik beliau yang menurut Encik Anwar, mereka sendiri tidak mengamalkan pentadbiran yang telus, malah memberikan kontrak dan tender bernilai jutaan ringgit kepada ahli keluarga mereka.

"Sebab itu saya kata sedia terima teguran. Jika ikhlas saya tiada masalah kerana saya komited memastikan supaya tiada amalan tidak sihat berlaku dalam pentadbiran kerajaan," katanya.

Mengulas kritikan mengenai amalan nepotisme di sebalik pelantikan anaknya itu, Encik Anwar menjelaskan perkara itu berlaku jika seseorang diberi jawatan untuk tujuan menyalahguna kuasa, memperkayakan diri, menambah kontrak dan mahu mendapat upah yang tinggi.

Sementara itu mengulas mengenai kedudukan terbaru Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia yang terus merosot untuk tempoh tiga tahun hingga 2022, Encik Anwar berkata beliau yakin rekod itu akan dipulihkan dan berubah menjelang tahun depan.

Encik Anwar berkata untuk itu, Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbirannya sudah memberi mesej jelas bahawa tidak akan bertolak ansur dan bertindak tegas dalam soal melibatkan rasuah dan salah guna kuasa.

"Kerajaan ini masih baharu…kita ikhlas serta fokus dalam tindakan menentang rasuah dan dalam hal ini saya memberi dukungan penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menjalankan tugas mereka," katanya.

Menurut laporan Transparency International (TI), Malaysia dilaporkan berada di kedudukan ke-61 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga ke-62 pada 2021, dengan skor Malaysia juga jatuh satu mata iaitu daripada 48 mata pada 2021 kepada 47 mata pada 2022.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan